Khamis, 3 Mei 2018 | 3:45pm
BANGUNAN Exchange 106 merupakan tanda ikonik Tun Razak Exchange (TRX) yang bakal dikenali sebagai pusat kewangan serta komersial bertaraf dunia Kuala Lumpur. - [Foto Rosela Ismail

Pembatalan projek mega jejas ekonomi

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal berdepan masalah jika semua projek mega dihentikan seperti dimahukan pembangkang jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan, Nasihat dan Teknologi (CREATE), Ng Yeen Seen, berkata pengambilalihan kuasa oleh pembangkang akan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara dan kemungkinan menyebabkan Malaysia ketinggalan di belakang Thailand, Vietnam dan Indonesia menjelang 2023.

Jika pembangkang memenangi dalam PRU-14, beberapa projek infrastruktur mega dan projek dari China termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Tun Razak Exchange (TRX) dan Country Garden akan dihentikan, manakala Malaysia diketepikan daripada inisiatif Satu Jalur Satu Jalan (OBOR).

"Industri sawit negara juga berdepan masalah kerana China akan membeli lebih banyak minyak sawit dari Indonesia berbanding Malaysia.

"Projek Terusan Segenting Kra sejauh kira-kira 30 kilometer (km) yang dibiayai oleh China bagi menghubungkan Laut China Selatan dan Teluk Thailand dipercepatkan oleh Thailand, yang mana hab pelabuhan bakal dibina supaya kapal tidak perlu lagi melalui Pelabuhan Klang.

"Pada masa sama, ia akan menjejaskan industri pelabuhan negara terutama di Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, menyebabkan ramai rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan," katanya dipetik dari sebuah akhbar berbahasa Inggeris di sini.

Yeen Seen berkata, sektor perkapalan, logistik dan pembuatan di Malaysia juga akan merosot manakala laluan laut strategik di timur dan barat melalui Selat Melaka akan kehilangan dominasinya.

"Projek terusan itu menyediakan kos lebih murah bagi pengilang untuk beralih ke Thailand. Industri 4.0 (trend automasi semasa dan pertukaran data dalam teknologi pembuatan) turut terjejas, termasuk industri Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ)," katanya.

Cadangan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh pembangkang juga, katanya, akan menyebabkan kerajaan kehilangan sejumlah aliran pendapatan yang besar.

Dengan keadaan prestasi Petronas kurang memberangsangkan sekitar 1980-an, 1990-an dan dekad pertama 2000, beliau berkata, kerajaan perlu mencari sumber pendapatan alternatif.

"Penswastaan akan ditingkatkan untuk menjual lebih banyak aset kepada pihak berpotensi melalui pinjaman lebih murah yang dijamin kerajaan," katanya.

Tanpa GST, Yeen Seen berkata, ramai pekerja di sektor awam akan diberhentikan majikan yang sedia terbeban oleh kos buruh tinggi.

Katanya, ketiadaan hasil minyak dan hubungan baik China dan Asia Barat, Malaysia mungkin terpaksa meminjam contohnya daripada Amerika Syarikat, selain menswastakan pelbagai aset lain.

Yeen Seen yang juga Duta Transformasi Nasional 50 (TN50) berkata, pada 1980-an dan 1990-an, harga minyak pasaran adalah tiga hingga empat kali ganda dari harga minyak mentah Brent dan tanpa subsidi ketika ini, nisbah harga dengan Brent hanya 1.3 kali ganda.

"Jika pembangkang menang, mereka hanya menyerap lebih banyak cukai dan mengatakan itu sebagai subsidi untuk mengaburi rakyat," katanya.

Beliau berkata, menghapuskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan menjejaskan matlamat negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

"Pelaksanaan revolusi Industri 4.0 tidak akan berlaku di Malaysia dan penduduk tempatan terpaksa bersaing dengan pekerja asing seperti sekitar 1980-an dan 1990-an," katanya.

Apa yang jelas, katanya, penswastaan dan era kroni kapitalis akan kembali jika pembangkang berkuasa manakala rakyat terus menderita.

Berita Harian X