Jumaat, 4 Mei 2018 | 3:25pm

Pembangkang sanggup sokong calon Bebas

PUTRAJAYA: Selepas calon mereka hilang kelayakan bertanding di kerusi Parlimen Batu, pakatan pembangkang yang menggunakan logo PKR sanggup menyokong calon Bebas bagi memastikan Barisan Nasional (BN) tidak memenangi kerusi berkenaan.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai pakatan pembangkang, berkata mereka tidak peduli siapa yang akan memenangi kerusi yang sebelum ini disandang Naib Presiden PKR, Tian Chua asalkan bukan BN.

"Mereka (BN) layak kalah kerana berbohong. Kita serahkan kepada mahkamah. Mahkamah berpihak kepada Pegawai Pengurus (Pilihan Raya), saya tidak mahu bercakap lebih daripada itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika mengulas strategi pakatan pembangkang di Parlimen Batu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini menolak saman pemula Tian Chua terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung keputusan menolak pencalonannya bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Hakim Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Amarjeet Singh yang mewakili Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Anwar Mohd Zain, 56, dan SPR selaku responden pertama serta kedua.

TIAN Chua gagal dalam saman pemulanya terhadap SPR bagi mencabar keputusan menolak pencalonan beliau bertanding di kerusi Parlimen Batu pada PRU-14. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Tian Chua sebelum ini gagal mempertahankan kerusi Parlimen Batu apabila SPR mendapati beliau hilang kelayakan bertanding kerana dihukum denda RM2,000 atas kesalahan menghina polis, ketika hari penamaan calon Sabtu lalu.

Sementara itu, calon PKR bagi kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Dr Mahathir akan menyampaikan ceramah 'Pesanan Perdana' pada jam 10 malam Selasa ini di Langkawi.

Beliau berkata, ceramah berkenaan akan disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Dr Mahathir, yang menyasarkan 10 juta penonton termasuk di lokasi ceramah pembangkang di 222 kerusi Parlimen seluruh negara.

Berita Harian X