Jumaat, 4 Mei 2018 | 4:15pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Larut pada sidang media mengenai tiga anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kampung Repuh Batu Kurau keluar parti setelah hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi PPBM di Selama hari ini. Turut kelihatan Ketua PPBM Kampung Repuh Baharom Mohd Radzi (kiri). - Foto BERNAMA

Azmin cakap ikut sedap mulut saja

BATU KURAU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zanudin membidas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana berbohong mengenai dirinya.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Larut itu berkata, Azmin dalam ceramahnya di sini semalam mendakwa beliau tidak akan pulang ke Larut jika menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Saya jelaskan di sini, Azmin Ali.... seluruh rakyat di Parlimen Larut tahu setiap minggu saya pulang ke kampung bersama dengan rakyat.

"Ini cerita mungkin calon mereka tak balik, jadi janganlah calon mereka tak balik kata saya pula yang tak balik.

"Saya balik tiap-tiap minggu. Inilah perangai pembangkang yang sentiasa nak ubah cerita bukan-bukan kemudian kata macam-macam konon mereka yang hebat sekali," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan geran penjaja peniaga kecil di Parlimen Larut, di sini hari ini.

Hamzah berkata, Azmin berlagak hebat namun Menteri Besar Selangor itu sendiri tidak dapat menyelesaikan masalah air di negerinya sendiri demi kesejahteraan rakyat.

"Selain itu, isu tanah di Ijok, Selangor pun tak dapat diselesaikan. Apa yang saya jelaskan, mereka ini tiada langsung agenda untuk membantu rakyat.

"Agenda mereka hanya untuk membantu kroni mereka sahaja," katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan Hamzah menyerahkan bantuan kepada 1,500 penerima dalam kalangan peniaga kecil di seluruh Parlimen Larut.

Beliau berkata, setiap mereka menerima geran berjumlah RM500 secara sekali bayar sebagai usaha pihak kerajaan dalam membantu mereka memajukan perniagaan.

"Peniaga boleh menggunakan wang itu untuk membeli peralatan yang digunakan untuk berniaga dan menambah lagi pendapatan," katanya.

Berita Harian X