Khamis, 10 Mei 2018 | 4:52pm
BN Perak pada Majlis Pelancaran Manifesto BN Perak PRU14 - Foto fail

Prestasi BN Perak terburuk dalam sejarah

IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak mencatat keputusan terburuk dalam sejarah Pilihan Raya Umum (PRU) apabila hanya memenangi 27 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 11 kerusi Parlimen daripada 24 kerusi dipertandingkan pada PRU-14.

Semua 27 kerusi DUN itu disumbangkan oleh UMNO. UMNO turut menang 10 daripada 11 kerusi Parlimen manakala satu lagi kerusi Parlimen disumbangkan oleh calon MIC.

Ia mengulangi prestasi buruk pada PRU-12 (2008) apabila BN memenangi 28 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen berbanding pakatan pembangkang yang dikenali Pakatan Rakyat ketika itu yang memenangi 31 kerusi DUN dan 11 kerusi Parlimen.

Pada PRU-13 (2013), BN memenangi 31 kerusi yang semuanya disumbangkan UMNO kecuali DUN Chenderiang yang dimenangi oleh calon MCA, selain memenangi 12 kerusi Parlimen dengan 10 daripadanya disumbangkan oleh UMNO dan masing-masing satu kerusi oleh MIC serta MCA, sebelum menambah satu lagi kerusi yang dimenangi GERAKAN menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.

Pada PRU kali ini, BN berjaya mengekalkan 17 kerusi DUN oleh penyandangnya manakala sembilan muka baharu memenangi kerusi selebihnya dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah pada 2008, Dr Wan Norashikin Wan Nordin, yang dicalonkan semula tahun ini berjaya mengekalkan kerusi berkenaan.

Untuk kerusi Parlimen, 10 penyandang mengekalkan kerusi masing-masing sementara Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berjaya merampas kerusi Parlimen Bukit Gantang daripada PAS.

BN bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi Parlimen Tambun, Tanjung Malim dan Teluk Intan serta lapan kerusi DUN iaitu Manjoi, Hulu Kinta, Chenderiang, Pasir Panjang, Behrang, Selama, Kubu Gajah dan Kamunting.

Parti itu bagaimanapun berjaya merampas kerusi DUN Hutan Melintang, Selinsing, Kuala Sepetang dan Changkat Jering.

Setakat ini, sama ada BN boleh mengekalkan semula kerajaan negeri atau menjadi pembangkang bergantung kepada PAS yang memenangi tiga kerusi sama ada mahu membentuk kerajaan campuran bersama BN atau tidak.

Untuk rekod, pada tahun 1969, UMNO yang mengetuai parti Perikatan pernah menghadapi situasi kehilangan majoriti di DUN tetapi berjaya membentuk kerajaan negeri apabila empat parti pembangkang tidak bekerjasama dengan dua daripadanya kemudian bergabung dalam Perikatan.

Pada PRU berkenaan, Parti Progresif Penduduk (PPP) memperoleh 12 kerusi DUN diikuti DAP (enam kerusi), GERAKAN (dua kerusi) serta PAS (satu kerusi) menjadikan 21 kerusi berbanding Perikatan 19 kerusi.

Parti PPP dan GERAKAN kemudian menyertai Perikatan yang kemudian ditukar nama kepada BN.

Berita Harian X