Khamis, 10 Mei 2018 | 5:38pm
DATIN Mastura Mohd Yazid (tengah), Dr Wan Norashikin Wan Nordin (atas kanan) Salbiah Mohamed (atas kiri), Jamilah Zakaria (bawah kiri), Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin (bawah, dua dari kiri), Jenny Choy Tsi Jen (bawah, dua dari kanan) dan Wong May Ing (bawah kiri).

Hanya 7 calon wanita menang di Perak

IPOH: Hanya tujuh calon wanita yang berjaya meraih mandat daripada pengundi di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tidak seiring hasrat untuk memperkasakan kaum Hawa dalam politik tanah air.

Mereka adalah sebahagian daripada keseluruhan 22 calon wanita diberi peluang oleh kepemimpinan parti masing-masing untuk bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada pilihan raya kali ini.

Tujuh calon yang menang itu membabitkan lima daripada Barisan Nasional (BN) dan berpengalaman sebagai wakil rakyat.

Baki dua lagi adalah calon muka baharu daripada DAP yang bertanding menggunakan logo PKR.

Calon wanita BN terbabit ialah Datin Mastura Mohd Yazid mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (DUN Tualang Sekah) yang juga bekas EXCO kerajaan negeri.

Selain itu, Salbiah Mohamed (DUN Temengor), Jamilah Zakaria (DUN Trong) dan Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin (DUN Kampung Gajah).

Bagi DAP pula, Jenny Choy Tsi Jen yang juga seorang jurutera memenangi kerusi DUN Canning, dan Wong May Ing (DUN Pantai Remis) cemerlang dalam pertandingan dua penjuru.

Bagaimanapun, lima calon wanita PAS tewas di kerusi Parlimen Bagan Serai dan Parit, serta DUN Bukit Chandan, Ayer Kuning dan Pasir Panjang.

Masing-masing seorang calon wanita daripada Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula kalah di DUN Kampong Gajah serta Kota Tampan.

12 dibaca
Berita Harian X