Khamis, 10 Mei 2018 | 6:40pm
Gambar Hiasan.

Prestasi BN Perak terburuk dalam sejarah

IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak mencatat keputusan terburuk dalam sejarah pilihan raya umum (PRU) apabila hanya memenangi 27 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 11 kerusi Parlimen daripada 24 kerusi dipertandingkan.

Semua 27 kerusi DUN itu disumbangkan UMNO, selain parti itu turut menang 10 daripada 11 kerusi Parlimen, manakala satu lagi kerusi Parlimen disumbangkan calon MIC.

Ia mengulangi prestasi buruk pada PRU 2008 apabila BN memenangi 28 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen, berbanding pakatan pembangkang yang dikenali Pakatan Rakyat ketika itu yang memenangi 31 kerusi DUN dan 11 kerusi Parlimen.

Pada PRU 2013, BN memenangi 31 kerusi yang semuanya disumbangkan UMNO kecuali DUN Chenderiang yang dimenangi calon MCA, selain memenangi 12 kerusi Parlimen dengan 10 daripadanya disumbangkan UMNO dan masing-masing satu kerusi oleh MIC serta MCA, sebelum menambah satu lagi kerusi dimenangi GERAKAN menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.

Pada PRU-14 kali ini, BN berjaya mengekalkan 17 kerusi DUN oleh penyandangnya, manakala sembilan muka baharu memenangi kerusi selebihnya dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah pada 2008, Dr Wan Norashikin Wan Nordin, yang dicalonkan semula tahun ini berjaya mengekalkan kerusi berkenaan.

Untuk kerusi Parlimen, 10 penyandang mengekalkan kerusi masing-masing, sementara Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berjaya merampas kerusi Parlimen Bukit Gantang daripada PAS.

Bagaimanapun, BN gagal mempertahankan kerusi Parlimen Tambun, Tanjung Malim dan Teluk Intan serta lapan kerusi DUN iaitu Manjoi, Hulu Kinta, Chenderiang, Pasir Panjang, Behrang, Selama, Kubu Gajah dan Kamunting.

Parti itu bagaimanapun berjaya merampas kerusi DUN Hutan Melintang, Selinsing, Kuala Sepetang dan Changkat Jering.

Setakat ini, sama ada BN boleh mengekalkan semula kerajaan negeri atau menjadi pembangkang bergantung kepada PAS yang memenangi tiga kerusi sama ada mahu membentuk kerajaan campuran bersama BN atau tidak.

Untuk rekod, pada tahun 1969, UMNO yang mengetuai parti Perikatan pernah menghadapi situasi kehilangan majoriti di DUN tetapi berjaya membentuk kerajaan negeri apabila empat parti pembangkang tidak bekerjasama dengan dua daripadanya kemudian bergabung dalam Perikatan.

Pada PRU berkenaan, Parti Progresif Penduduk (PPP) memperoleh 12 kerusi DUN diikuti DAP (6), GERAKAN (2) dan PAS (1) menjadikan 21 kerusi berbanding Perikatan 19 kerusi.

Parti PPP dan GERAKAN kemudian menyertai Perikatan yang kemudian ditukar nama kepada BN.

Berita Harian X