Khamis, 10 Mei 2018 | 7:25pm
DATUK Ahmad Yakob mengadakan sidang media pertama setelah dilantik semula sebagai Menteri Besar di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan selepas mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra di Istana Kota Lama. - Foto Syamsi Suhaimi

Orang muda, pengundi luar menyumbang kemenangan PAS

KOTA BHARU: Sokongan golongan muda dan pengundi luar menjadi antara faktor utama kejayaan PAS mengekalkan pentadbirannya di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Katanya, mereka didapati sudah mendapat kesedaran tinggi untuk mengundi PAS supaya dasar 'Membangun Bersama Islam' dapat diteruskan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, parti itu layak membentuk kerajaan secara rasmi selepas memenangi 37 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya kali ini.

"PAS Kelantan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat, terutama anak perantauan kerana pulang mengundi parti ini. Tidak ketinggalan juga jentera parti kerana bekerja keras memastikan PAS mentadbir Kelantan sekali lagi.

"Pada PRU-14, kita mendapati prestasi PAS meningkat dengan pertambahan empat lagi kerusi berbanding 33 (termasuk satu kerusi PKR) pada PRU-13. Malah, kita memperoleh majoriti lebih 5,000 di enam kerusi DUN Kelantan.

"Ini menunjukkan sokongan rakyat semakin bertambah, sekali gus memberi keyakinan kepada PAS mentadbir Kelantan mengikut dasar 'Membangun Bersama Islam'," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Pejabat Perhubungan PAS negeri, di sini, hari ini.

Ahmad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan di Istana Kota Lama, di sini, hari ini.

Majlis angkat sumpah itu dilakukan di hadapan Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan menyandang jawatan Menteri Besar bagi penggal kedua selepas menggantikan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Mengenai pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahmad berkata, beliau sedang menunggu tarikh terbaik dalam masa terdekat daripada Tengku Muhammad Fa-iz Petra untuk mendapat perkenan, termasuk mengadakan majlis angkat sumpah.

Dalam pada itu, katanya, beliau juga sudah menjangkakan kegagalan Pakatan Harapan (PH) untuk meraih sebarang kerusi di negeri ini.

"Kita sudah menjangkakan perkara ini memandangkan pendekatan dibawa mereka kurang sesuai di Kelantan berbanding Pantai Barat.

"Rakyat juga lebih yakin dengan PAS apabila kita menampilkan pendekatan politik matang dan sejahtera sehingga mendapat sambutan. Ia akan berterusan hingga PRU akan datang," katanya.

Berita Harian X