Khamis, 10 Mei 2018 | 10:12pm
PENYOKONG Pakatan Harapan berkumpul di luar perkarangan pintu masuk 3 bagi memberi sokongan kepada Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 di Istana Negara. - Foto Aizuddin Saad
PENYOKONG Pakatan Harapan berkumpul di luar perkarangan pintu masuk 3 bagi memberi sokongan kepada Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 di Istana Negara. - Foto Aizuddin Saad

PPBM, Amanah, Warisan perkukuh penguasaan PKR, DAP

KUALA LUMPUR: Kebangkitan pakatan disertai PKR, DAP, PPBM dan Amanah menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mengejutkan semua pihak kerana keupayaan menumbangkan parti yang sudah 60 tahun memegang tampuk kuasa.

PH yang dianggotai beberapa parti komponen iaitu PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) menang dengan memperoleh 121 kerusi Parlimen.

Kemenangan yang dianggap ramai sebagai tsunami rakyat, disumbang oleh kejayaan PH meraih kerusi Parlimen dari seluruh negara.

PRU-14 menyaksikan PKR memegang 49 kerusi Parlimen dengan penambahan 19 kerusi, berbanding 30 kerusi yang dicapai pada PRU-13, manakala DAP memperoleh 42 kerusi, naik empat kerusi berbanding pilihan raya lima tahun lalu.

Dua parti baharu serpihan UMNO dan PAS, PPBM dan Amanah, turut membuat kejutan apabila masing-masing memenangi 10 serta 12 kerusi Parlimen.

Tidak menghampakan, Warisan yang diasaskan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, selepas disingkirkan daripada UMNO, mampu menggenggam lapan kerusi Parlimen di Sabah, secara tidak langsung merobek kubu kuat BN di negeri itu.

Pada pemilihan kali ini, Selangor nyata menjadi penyumbang terbesar kepada kejayaan PH apabila memenangi 20 kerusi Parlimen, hanya dua kerusi Parlimen diraih BN.

Daripada jumlah itu, separuh daripadanya dikuasai PKR, selebihnya Amanah (5), DAP (4) dan Bersatu (1).

Antara kejutan pilihan raya ini adalah tumbangnya BN di Johor, dengan gabungan itu menyumbang 18 kerusi Parlimen, sekali gus meranapkan kubu kuat BN di selatan itu.

Penguasaan itu dibantu kepemimpinan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang merampas lima kawasan parlimen serta DAP dan Amanah yang masing-masing memenangi lima dan satu kerusi di negeri itu.

Penguasaan 'total' PH turut disaksikan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur apabila mereka memenangi kesemua 10 kawasan di situ, sekali gus menumbangkan nama besar BN seperti Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Titiwangsa), Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique (Setiawangsa) dan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (Lembah Pantai).

Tsunami rakyat itu turut melakar kejutan di Melaka, apabila PH menguasai empat daripada enam kerusi Parlimen yang dipertandingkan iaitu PKR di Alor Gajah, Tangga Batu dan Hang Tuah Jaya manakala DAP pula di Kota Melaka.

PH turut cemerlang di Perak apabila menguasai sebanyak 13 kerusi Parlimen berbanding hanya sembilan kerusi pada PRU-13. DAP memperoleh tujuh kerusi, PKR (3), Amanah (1) dan Bersatu (1).

Turut mengejutkan ramai , PH juga mendominasi kerusi Parlimen di Kedah apabila menguasai 10 daripada 15 kerusi yang dipertandingkan.

Kejayaan PH di Kedah adalah melalui enam kerusi oleh PKR serta Bersatu dan Amanah, masing-masing memperoleh tiga dan satu kerusi. BN hanya memenangi dua kerusi, manakala tiga kerusi lagi dimiliki PAS.

Pada pemilihan kali ini, PH turut melebarkan sayap di Borneo dengan merampas 24 kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak lalu melenyapkan status negeri itu sebagai 'deposit tetap' BN.

Kubu kuat DAP di Pulau Pinang juga tidak menghampakan PH apabila, DAP memguasai tujuh kerusi dan empat lagi dimiliki PKR.

PH turut tidak menghampakan di negeri Pahang apabila berjaya memperolehi lima daripada 15 kerusi yang dipertandingkan. Tiga daripadanya dimiliki PKR manakala selebihnya DAP.

Di Perlis, calon PKR, Amin Ahmad menjadi satu-satunya wakil PH di Perlis apabila bukan setakat menundukkan calon BN dan PAS tetapi turut meraih majoriti melebihi 5,000.

INFO kerusi Parlimen dimenangi PH

Perlis (1 kerusi)

PKR: 1

Kedah (10 kerusi)

PKR: 6

PPBM: 3

Amanah: 1

Pulau Pinang (11 kerusi)

PKR: 4

DAP: 7

Perak (13 kerusi)

PKR: 3

PPBM: 1

Amanah: 2

DAP: 7

Selangor (20 kerusi)

PKR: 10

PPBM: 1

Amanah: 5

DAP: 4

Negeri Sembilan (5 kerusi)

PKR: 1

PPBM: 1

Amanah: 1

DAP: 2

Melaka (4 kerusi)

PKR: 3

DAP: 1

Johor (18 kerusi)

PKR: 7

PPBM: 5

Amanah: 1

DAP: 5

Pahang (5 kerusi)

PKR: 3

DAP: 2

Kuala Lumpur (10 kerusi)

PKR: 4

PPBM: 1

DAP: 5

Sabah (14 kerusi)

PKR: 3

DAP: 3

Warisan: 8

Sarawak (10 kerusi)

PKR: 4

DAP: 6

Berita Harian X