Ahad, 13 Mei 2018 | 4:46pm

Keputusan dibuat secara harmoni, muafakat - Azmin

CHERAS: Proses rundingan Pakatan Harapan (PH) berhubung tiga portfolio kanan dalam kerajaan membabitkan jawatan Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan, diputuskan secara harmoni dan muafakat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, berkata perbincangan semalam cukup baik, positif dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, amat gembira, sekali gus membolehkan PH meneruskan tradisi yang cukup positif.

"Proses itu berjalan baik dan harmoni kerana sokongan rakyat kepada PH terlalu besar. Jangan kita mengecewakan harapan tinggi rakyat terhadap kepemimpinan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah dalam bentuk kerajaan persekutuan yang baharu.

"Banyak perbincangan yang perlu diteruskan dalam pembentukan kerajaan. Perbincangan berjalan, cuma dalam proses berlaku semalam, Datuk Seri Anwar tak dapat hadir mesyuarat itu. Sebab itu, Perdana Menteri datang ke hospital dan kita hargai komitmen Dr Mahathir.

"Sebab itu, Anwar menyatakan perbincangan itu mesti diteruskan dan mestilah secara menyeluruh supaya pandangan semua parti dihormati dan ini tradisi cukup baik," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas melawat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang menyifatkan pengumuman berhubung pelantikan tiga portfolio kanan itu belum dimuktamadkan dan masih dalam perbincangan.

Ini kerana, Rafizi berkata, sebarang keputusan mengenai pelantikan mestilah dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti dalam PH.

Azmin berkata, Anwar berterima kasih atas kunjungan Perdana Menteri semalam.

Beliau berkata, Anwar mengulangi sokongan terhadap kepemimpinan regu utama negara sambil menggesa supaya semua pemimpin PKR memberi sokongan padu kepada Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah.

"Pada masa yang sama, kita nyatakan kepada Perdana Menteri supaya proses rundingan untuk pelantikan Kabinet ini harus diteruskan dalam semangat muafakat dan juga bersifat inklusif membabitkan semua parti.

"Alhamdulillah, Perdana Menteri menyambut baik saranan dan pandangan Datuk Seri Anwar untuk mengekalkan perpaduan dalam PH.

"Lebih penting ialah untuk memastikan aspirasi rakyat Malaysia dapat diterjemahkan dalam bentuk dasar dan program yang akan dilaksanakan Perdana Menteri," katanya.

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjawab soalan media selepas berjumpa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapatkan rawatan di Pusat Rehabilitasi Cheras. - Foto Mohd Yusni Ariffin
MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjawab soalan media selepas berjumpa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapatkan rawatan di Pusat Rehabilitasi Cheras. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X