Ahad, 20 Mei 2018 | 1:49pm
PENGANALISIS politik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Jeniri Amir. - Foto Surianie Mohd Hanif

Semua jawatan tertinggi UMNO perlu dipertandingkan

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik berpendapat semua jawatan tertinggi UMNO perlu dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang sebagai perubahan yang mampu menarik kembali sokongan akar umbi.

Mereka berpandangan dasar lama diguna pakai UMNO yang tidak menggalakkan pertandingan atas dasar solidariti sudah tidak relevan.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Jeniri Amir, berkata jika UMNO masih di takuk lama, parti itu tidak akan mampu meneruskan kelangsungannya.

"Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menolak cadangan tidak mempertandingkan jawatan tertentu pada pemilihan parti akan datang harus disokong kerana UMNO perlu berdepan dan menelan realiti pahit.

"Dasar lama yang digunapakai tidak lagi relevan kerana UMNO harus menjadi pembangkang yang konstruktif bukan saja perlu 'menyalak', malah 'menggigit' sebagai semak dan imbang kepada kerajaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pensyarah politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, turut bersetuju dengan pandangan Khairy supaya pemilihan diadakan bagi jawatan tertinggi UMNO.

"Sudah tiba masanya pemilihan tertinggi sehinggalah ke bawah dipilih secara demokratik. Kalau tiada pemilihan, UMNO dilihat masih tidak keluar dari politik lama. Rakyat juga mahu lihat UMNO yang berubah," katanya.

Penganalisis politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul, berpendapat kenyataan Khairy itu kerana Ahli Parlimen Rembau itu mahu melihat demokrasi terus segar dalam UMNO.

"Biarlah UMNO terus subur dari segi demokrasi yang sebenarnya dengan pemimpin peringkat akar umbi memilih pemimpin yang dianggap layak menerajui parti.

"UMNO sudah melalui satu episod 'tsunami rakyat' dan biarlah kali ini pemimpin utama UMNO dipilih oleh perwakilan Bahagian UMNO yang mewakili 3.6 juta suara ahli UMNO," katanya.

Semalam, Khairy dilaporkan berkata menolak cadangan tidak mempertandingkan jawatan tertentu pada pemilihan parti akan datang.

Katanya, cadangan seperti itu tidak boleh lagi kedengaran dalam UMNO jika mahu kekal relevan dan kembali menambat hati rakyat.

Berita Harian X