Isnin, 21 Mei 2018 | 1:47pm

Buka pertandingan jika mahu berubah - Veteran UMNO Perak

IPOH: UMNO akan terus ditolak rakyat dan sukar menjadi parti politik yang kuat jika masih terus mengamalkan budaya 'takut' untuk membenarkan jawatan pemimpin khususnya kepimpinan tertinggi, dicabar atau dipertandingkan.

Pengerusi Veteran UMNO Perak, Datuk Khalid Nasir, berkata parti itu sekarang perlu mengambil langkah berani untuk mentransformasi diri dengan tidak lagi menggalakkan tindakan sesuatu jawatan itu dikompromi iaitu dikekalkan kepada penyandang.

Katanya, menerusi pertandingan, ahli parti itu dapat membuat pilihan mengenai pemimpin mana yang dikenal pasti benar-benar layak untuk menerajui UMNO bagi melakukan proses pemulihan sepenuhnya selepas kalah teruk sehingga kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Tetapi, dengan syarat tiada lagi amalan politik wang.

"Jika tidak, UMNO tidak dapat melahirkan pemimpin sebenarnya sebaliknya orang yang tidak layak memimpin tetapi berduit boleh `lepas' ke atas (menjadi pemimpin), manakala orang yang layak memimpin tetapi tiada duit, tidak dapat naik ke atas," katanya di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan pelbagai pihak yang membantah cadangan UMNO Melaka agar tiga jawatan tertinggi parti iaitu presiden, timbalan presiden dan satu daripada tiga jawatan naib presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Antara mereka yang membantah cadangan itu termasuk Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Penganalisis politik pula berpendapat semua jawatan tertinggi UMNO perlu dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang sebagai perubahan yang mampu menarik kembali sokongan akar umbi.

Mereka berpandangan dasar lama diguna pakai UMNO yang tidak menggalakkan pertandingan atas dasar solidariti sudah tidak relevan.

Ketika ini, tugas Presiden UMNO dipikul Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, manakala Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO.

Ini berikutan peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada 12 Mei lalu selepas kekalahan dalam PRU-14.

Khalid berkata, beliau sendiri berkongsi pandangan itu dengan rakan sejawatan, pemimpin UMNO di peringkat akar umbi termasuk dalam media sosial kerana sekarang adalah masa untuk UMNO melalui zaman peralihan.

Katanya, jika sebelum ini pertandingan dalam parti dianggap boleh menimbulkan masalah dan perpecahan, sekarang ia tidak lagi menjadi masalah kerana isu sebenar sekarang ialah untuk memastikan UMNO boleh kembali bangkit dan berkuasa semula.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X