Isnin, 18 Jun 2018 | 4:24pm

Ramai calon, lebih pilihan kepada ahli

SEREMBAN: Bilangan calon bertanding bagi jawatan tertinggi UMNO tidak perlu dihadkan kerana ahli parti kini mahu pembaharuan dan kebebasan memilih pemimpin yang mereka yakin dapat mengembalikan kegemilangan UMNO.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi, berkata UMNO perlu berubah mengikut keadaan semasa dan menerima suasana politik baharu yang mementingkan keterbukaan dan ketelusan.

"Jika semua calon yang mahu bertanding termasuk bagi jawatan presiden dan timbalan pada pemilihan parti nanti memiliki syarat mencukupi, maka biarlah mereka bertanding dan biarlah ahli dan perwakilan UMNO yang membuat pilihan.

"Ahli dan perwakilan pula perlu rasional dan memikirkan dengan mendalam pemimpin atau calon mana yang mampu membawa UMNO bangkit semula daripada keadaan dialami sekarang," katanya kepada NSTP ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, bilangan calon yang ramai tidak menjadi isu kerana ahli dan perwakilan akan menggunakan kebijaksanaan mereka untuk memilih pemimpin terbaik untuk memimpin parti.

NSTP semalam melaporkan, tujuh borang pencalonan diterima bagi pemilihan jawatan Presiden UMNO selepas waktu serahan borang tamat pada jam 5 petang.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dipetik berkata, ia jumlah tertinggi dalam sejarah parti bagi pemilihan jawatan tertinggi itu.

Bagaimanapun, NSTP difahamkan, selain pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang mengesahkan akan bertanding jawatan presiden, empat lagi calon dikatakan gagal memenuhi kelayakan, termasuk menjadi Ahli Majlis Tertinggi selama sepenggal.

Bagi jawatan timbalan presiden pula, selain bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Anuar Musa, jawatan itu juga bakal ditandingi bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Berita Harian X