Khamis, 21 Jun 2018 | 7:30pm

Tujuh Ketua UMNO bahagian dicabar

KUALA TERENGGANU: Tujuh daripada lapan Ketua UMNO bahagian di negeri ini akan dicabar pada pemilihan parti, akhir bulan ini.

Paling menarik, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang menawarkan diri mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus akan dicabar naib Ketua UMNO bahagiannya, Apli Yusoff.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat yang memangku jawatan Ketua UMNO bahagian menjadi satu-satunya calon yang memenangi jawatan itu tanpa bertanding.

Beliau yang juga bekas EXCO kerajaan negeri memangku jawatan itu menggantikan bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Seri Jailani Johari yang meletak jawatan apabila namanya digugurkan daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JKPU) negeri, Datuk Muda Mamat, berkata Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohamad yang bertanding mempertahankan jawatan akan dicabar Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian, Ghazali Che Noh, pada pertandingan satu lawan satu.

Beliau berkata, timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Sabri Mohd Noor yang menawarkan diri bertanding selepas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Mohd Jidin Shafie mengumumkan tidak bertanding akan dicabar Mohd Zaimi Abd Ghafar.

"Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh yang menawarkan diri bertanding selepas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Mohd Sabri Alwi melepaskan jawatan akan berdepan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Ahmad Fanizar Md Tahar.

"Ketua UMNO Bahagian Marang, A Latiff Awang yang mengesahkan bertanding mempertahankan jawatan akan dicabar tiga calon lain termasuk bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Yahya Khatib Mohamad," katanya ketika dihubungi selepas mempengerusikan Mesyuarat JKPU, hari ini.

Muda berkata, dua lagi calon yang akan mencabar A Latiff ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Wan Ku dan Abdul Mutalib Samion.

Katanya, Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Din Adam yang akan mempertahankan jawatan itu bakal dicabar pada pertandingan satu lawan satu selepas Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud turut menawarkan diri bertanding.

"Bekas Menteri Besar yang juga calon Naib Presiden UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said akan dicabar dua calon lain, Ahmad Abdullah dan Mat Dalam Awang," katanya.

Muda berkata, mesyuarat pemilihan parti peringkat bahagian di negeri ini akan diadakan serentak dengan pemilihan jawatankuasa Majlis Tertinggi (MT) termasuk jawatan Presiden, timbalan presiden, naib presiden dan Ahli MT.

Bagaimanapun, katanya, calon yang menawarkan diri untuk bertanding semua jawatan tertinggi di peringkat bahagian termasuk jawatan di peringkat sayap iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri masih boleh menarik diri daripada bertanding.

"Mesyuarat pemilihan Wanita UMNO, Pemuda dan Puteri di peringkat bahagian serta pemilihan jawatankuasa di peringkat Pusat akan diadakan serentak Sabtu ini (23 Jun).

"Seramai 5,302 perwakilan Wanita UMNO bahagian, 4,481 perwakilan Pemuda dan 4,370 perwakilan Puteri layak hadir untuk memilih," katanya.

Berita Harian X