Jumaat, 22 Jun 2018 | 7:34pm
KETUA Pemuda UMNO yang juga calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin, menyampaikan ucapan ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Ali Mazat Salleh di Taman Lagenda Putra, Kulai. - Foto Mohd Fahmi Mohd Yusof

Perubahan perlu dilakukan sekarang - Khairy

KULAI: Khairy Jamaluddin mengingatkan sebarang perubahan kepada UMNO perlu dilakukan pada pemilihan kali ini dan tidak menunggu tiga tahun lagi ketika persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 perlu dilakukan.

Ketua Pemuda UMNO itu berkata perubahan yang dilakukan pada pemilihan kali ini tidak boleh bersifat sementara.

Beliau yang menawarkan diri sebagai calon Presiden UMNO menegaskan, jika ahli masih tidak mahu berubah dan membuat pemilihan yang menampakkan UMNO sebelum ini, ia tidak memberi keyakinan kepada rakyat untuk kembali mempercayai parti itu.

"Kalau kita tidak hendak berubah dan buat pemilihan menampakkan ia (UMNO) 'bisnes as usual' atau tidak dapat yakinkan rakyat, maka tempoh masa yang ada selepas pemilihan ini dan tiga tahun akan datang tidak cukup, kerana itu kita berdepan Pilihan Raya Umum dalam tempoh masa dua tahun maksimum.

"Kita tidak boleh ada pilihan berbentuk sementara. Mesti ada 'urgency', disegerakan perubahan itu. Tidak ditangguhkan tiga ke enam tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis rumah terbuka bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Ali Mazat Salleh di Taman Lagenda Putra di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Khairy tidak menafikan beliau antara pemimpin yang bertemu dan memujuk seorang lagi calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, untuk bertanding jawatan itu.

"Pada masa itu saya dan pemimpin (UMNO) lain galakkan Tengku Razaleigh bertanding kerana mahu ada pilihan, namun itu tidak bermaksud saya tidak boleh bertanding.

"Biarlah ada pilihan untuk perwakilan dan kita meraikan demokrasi terbuka. Tidak salah kalau saya tawarkan diri mewakili generasi dan pandangan idea berbeza sedikit dari Tengku Razaleigh dan Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi)," katanya.

Hari ini, Tengku Razaleigh mendedahkan Khairy antara pemimpin UMNO yang hadir dan memujuknya supaya bertanding jawatan Presiden kerana Ketua Pemuda itu mahukan seorang tokoh yang boleh diterima bukan sahaja ahli UMNO dan komponen Barisan Nasional (BN), tetapi rakyat secara keseluruhannya.

26 dibaca
Berita Harian X