Ahad, 24 Jun 2018 | 3:52pm
KETUA Penerangan UMNO bahagian Gua Musang, Mohd Syahbudin Hashim (kiri) menandatangani di plak perasmian Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (PEKA GM) di Bilik Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Galas, di Bandar Utama. - Foto Ramli Ibrahim

Jangan salah tafsir debat pemimpin UMNO

GUA MUSANG: Niat calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah untuk berdebat bersama para pencabarnya adalah baik supaya tidak berlaku perpecahan dalam parti.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbudin Hashim mahu perwakilan yang bakal mengundi menentukan siapa layak menerajui UMNO hujung bulan ini berfikir secara positif.

Beliau berkata, tidak pernah terlintas di hati Tengku Razaleigh atau lebih dikenali dengan Ku Li untuk menunjukkan ego apabila setuju debat itu diadakan.

Katanya, debat itu akan membolehkan setiap calon presiden mengemukakan idea bernas berasaskan kemampuan serta pengalaman masing-masing untuk menerajui UMNO.

"Ia bukan semata-mata Ku Li ingin menunjukkan bijak dan bangga diri bersaing calon lawan dalam perebutan jawatan tertinggi parti itu," katanya selepas melancarkan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (PEKA GM) di Bilik Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Galas, di Bandar Utama, di sini, petang semalam.

Bagi saingan untuk jawatan Presiden UMNO hujung bulan ini, lima individu menawarkan diri bertanding jawatan itu.

Tengku Razaleigh akan bersaing dengan Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin dan dua lagi individu.

Mohd Syahbudin yang juga Adun Galas menyifatkan jika ada dalam kalangan mereka menzahirkan perkara negatif berhubung debat itu, kemungkinan mereka terpengaruh dengan perkara luaran.

Beliau berkata, Tengku Razaleigh sudah beberapa kali menyatakan pendirian yang lebih jelas berhubung perkara itu supaya setiap perwakilan dapat gambaran lebih tepat.

"Kita, UMNO bahagian Gua Musang terasa amat yakin dengan sokongan perwakilan berikutan pemimpin yang paling layak menerajui UMNO peringkat pusat adalah Ku Li.

" ..bukan mudah untuk kita melihat UMNO kembali pulih dan kuat kecuali dengan kepakaran Ku Li sebagai seorang pemimpin paling lama berjuang dalam parti itu," katanya.

Berita Harian X