Isnin, 25 Jun 2018 | 4:30pm
BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib. - Foto Faiz Anuar
BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib. - Foto Faiz Anuar

Keputusan pemilihan sayap bukti UMNO mula berubah

KUALA LUMPUR: Kombinasi kepemimpinan baharu Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO tidak menggambarkan suara perwakilan peringkat bahagian yang akan menentukan keputusan Majlis Tertinggi (MT), Sabtu ini.

Bagaimanapun, corak pemilihan kepemimpinan tiga sayap itu pada Sabtu lalu, membayangkan kehendak akar umbi menuntut UMNO memulakan perubahan secara menyeluruh.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, berkata berbeza dengan perwakilan peringkat sayap, perwakilan mesyuarat bahagian lebih matang dan mahukan parti dipimpin kumpulan baharu yang tiada kaitan dengan kepemimpinan terdahulu.

Beliau berkata, perwakilan dijangka menonjolkan kematangan lebih meluas kerana lebih memikirkan soal kelangsungan UMNO kekal relevan dalam politik negara.

"Perwakilan dijangka memilih kepemimpinan baharu, pastinya bukan daripada kelompok yang menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Pengundi sudah memberikan undi tidak percaya kepada kelompok sedia ada. Oleh itu, satu kelompok baharu perlu diwujud untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat.

"Daripada mengendeng menawarkan diri bertanding jawatan, sewajarnya kelompok ini mengambil tanggungjawab seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang tidak menawarkan diri bertanding pada peringkat pusat, manakala Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengundur diri daripada politik," katanya.

Pada pemilihan peringkat sayap, bekas Ketua Puteri, Datuk Dr Noraini Ahmad memenangi jawatan Ketua Wanita, manakala Ahli MT, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memenangi jawatan Ketua Pemuda, dan Naib Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan bagi jawatan ketua pergerakan itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata keputusan pemilihan pucuk kepemimpinan sayap jelas menunjukkan perwakilan mahukan perubahan dalam barisan kepemimpinan utama parti.

Beliau berkata, contoh jelas apabila Asyraf Wajdi dipilih sebagai Ketua Pemuda walaupun bukan berasal daripada 'kilang' pergerakan itu.

Katanya, keputusan itu jelas membuktikan perwakilan memilih calon luar yang tidak berlatarbelakangkan Pemuda sebagai ketua mereka dengan menolak calon dalaman.

"Inilah yang saya istilahkan sebagai 'bomoh luar' dalam usaha mengubati UMNO yang sedang 'sakit'.

"Kalau itu petunjuknya yang diberi oleh perwakilan Pemuda, maka ia akan mempengaruhi keputusan pemilihan pucuk pimpinan parti, Sabtu ini.

"Jika keputusan Pemuda itu dijadikan penanda aras corak pemikiran perwakilan yang akan membuat keputusan nanti, saya yakin mereka juga mahukan 'bomoh luar' bagi memulihkan keyakinan ahli terhadap UMNO," katanya.

Berita Harian X