Isnin, 25 Jun 2018 | 5:10pm
AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim menyampaikan ucapan perasmian ketika Persidangan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Muar di Hotel Traders. - Foto Adi Safri

Pemilihan jawatan utama MT sukar diramal - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Keputusan pemilihan kepemimpinan baharu tiga sayap UMNO, Sabtu lalu, dijangka tidak memberi kesan terhadap pemilihan jawatan utama peringkat Majlis Tertinggi (MT), hujung minggu ini.

Penganalisis politik berpendapat sukar untuk meramal corak, hala tuju dan cita rasa kepemimpinan bahagian dalam memilih barisan pemimpin utama UMNO, termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden bagi penggal 2018-2021.

Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk, berkata pemilihan peringkat sayap hanya mencerminkan cita rasa dan kehendak perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Beliau berkata, pemilihan pucuk kepemimpinan UMNO pula mencerminkan cita rasa keseluruhan ahli yang diwakili pemimpin peringkat bahagian.

Katanya, pemilihan kali ini juga berlangsung dalam suasana UMNO bukan sebagai parti pemerintah, maka perspektif pembaharuan dijangka lebih memainkan peranan dalam menentukan struktur baharu kepemimpinan, bukannya corak pemilihan sayap.

Beliau berkata, pengaruh perwakilan sayap hanya terhad kepada pemilihan tiga pergerakan itu, manakala pemilihan peringkat MT akan menyaksikan pemimpin peringkat bahagian, khususnya ketua dan timbalan ketua, ada pengaruh kuat terhadap pilihan perwakilan.

"Selain itu, tidak tepat jika dikatakan tokoh baharu diangkat pada pemilihan sayap, Sabtu lalu, kerana ketiga-tiga pemimpin terbabit sudah bergiat aktif, malah pernah dan masih memegang jawatan dalam parti.

"Maka, sudah ada kesinambungan daripada kepemimpinan lalu, sekali gus mencerminkan kesinambungan perjuangan UMNO," katanya.

Keputusan rasmi pemilihan diumumkan semalam menyaksikan bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad, dipilih sebagai Ketua Wanita, manakala Ahli MT, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memenangi jawatan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan menjadi Ketua Puteri yang baharu.

Mengulas lanjut, Azeem Fazwan berkata, berdasarkan perkembangan politik semasa, UMNO memerlukan pembaharuan secara menyeluruh untuk menjadi parti pembangkang dominan yang boleh membawa suara berbeza dalam kerajaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika dilihat calon jawatan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pemangku Presiden UMNO, dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, adalah pemimpin yang ada pertalian dengan kerajaan sebelum ini.

Justeru, katanya, dilihat sukar untuk dua calon itu menonjolkan pembaharuan kerana mereka pernah berada dalam kerajaan sebelum ini dan gagal membawa pembaharuan berkenaan.

"Sebaliknya, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li, walaupun hanya seorang Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, ada lebih kredibiliti dengan pengalaman sebagai Naib Presiden UMNO.

"Ku Li juga pernah berada dalam Kabinet bawah pentadbiran tiga Perdana Menteri, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad. Jika mengambil kira faktor pembaharuan, maka calon yang menonjol dan tiada kaitan dengan pemerintahan sebelum ini adalah Ku Li.

"Namun, jika perwakilan menginginkan kesinambungan, mungkin mereka akan memilih calon yang ada kaitan dengan parti dan kerajaan terdahulu. Bagaimanapun, ia dilihat satu pilihan kurang bijak kerana kerajaan sebelum ini ditolak rakyat," katanya.

Beliau berpandangan, seharusnya Ahmad Zahid dan Khairy Jamaluddin mengambil tanggungjawab secara kolektif seperti dilakukan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Hishammuddin dan Shahrizat masing-masing tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden dan Ketua Wanita UMNO yang disandang, malah tidak menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi pada pemilihan kali ini sebagai mengambil tanggungjawab atas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul turut berpendapat sukar meramal corak pemilihan pucuk kepemimpinan UMNO, Sabtu ini, walaupun perwakilan peringkat sayap sudah menyuarakan kehendak masing-masing.

Bagaimanapun, beliau berkata, corak pemilihan Wanita, Pemuda dan Puteri menunjukkan ketiga-tiga pergerakan itu mahukan perubahan dalam parti.

"Pastinya akan berlaku persaingan sengit antara tiga calon jawatan Presiden dan jawatan nombor satu itu dijangka dimenangi tokoh tiada kaitan dengan kepemimpinan UMNO sebelum ini.

"Kekuatan Khairy Jamaluddin adalah pada ahli muda UMNO, manakala Ahmad Zahid ada pengaruh dalam kalangan akar umbi. Ku Li pula ada kekuatan dalam kalangan veteran dan ahli UMNO yang ingin melihat perubahan drastik dalam kepemimpinan," katanya.

Berita Harian X