Isnin, 25 Jun 2018 | 9:51pm

KJ harap aura perubahan sayap UMNO berterusan Sabtu ini

PETALING JAYA: Keputusan pemilihan peringkat sayap UMNO semalam membuktikan majoriti perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri, mahukan perubahan besar dalam kepemimpinan parti.

Justeru bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berharap momentum perubahan sama akan berterusan pada peringkat kedua pemilihan parti pada hujung minggu ini.

Khairy Jamaluddin yang akan bertanding jawatan Presiden UMNO berkata, angin perubahan dalam parti berlaku secara perlahan dan perkembangan ini dijangka berterusan bermula detik Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mengambil contoh pemilihan jawatan Ketua Pemuda UMNO, beliau berkata keputusan perwakilan memihak kepada bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bukannya Senator Khairul Azwan Harun, yang sebelum ini menjadi Naib Ketua sayap pergerakan itu.

Begitu juga dengan Wanita UMNO, katanya, apabila Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad, memenangi pertandingan untuk jawatan tertinggi dalam pergerakan itu bukannya Naib Ketua Wanita UMNO sebelum ini, Datuk Azizah Mohd Dun.

"Ini petanda cukup kuat bahawa akar umbi parti mahu melihat perubahan besar dalam UMNO. Adakah angin perubahan berterusan dalam UMNO sehingga persidangan perwakilan di peringkat bahagian parti? Ini adalah sesuatu yang saya tidak pasti," kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu dalam temubual khas bersama NSTP di Bandar Damansara, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas aura perubahan dalam keputusan pemilihan ketiga-tiga sayap parti UMNO membabitkan Wanita, Pemuda dan Puteri, semalam. Asyraf Wajdi, 42, menewaskan Azwan dan dua lagi pesaing iaitu Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah dan Ketua Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, bagi melayakkannya menjadi Ketua Pemuda UMNO bagi penggal 2018-2021.

Noraini, 50, pula menewaskan Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort dan bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman bagi jawatan Ketua Wanita UMNO.

Bagaimanapun, Datuk Zahida Zarik Khan yang juga bekas Naib Ketua Puteri UMNO, memenangi jawatan Ketua Puteri UMNO.

Sementara itu, Khairy Jamaludin, ketika ditanya mengenai keputusan pemilihan Pemuda, percaya gandingan Asyraf Wajdi dan Naib Ketua Pemuda baharu, Shahril Sufian Hamdan, boleh membawa perubahan kepada sayap Pemuda.

KHAIRY Jamaluddin ketika temubual khas di Bandar Damansara di Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X