Khamis, 28 Jun 2018 | 2:01pm
CALON Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media Majlis Sambutan Aidilfitri & Sesi Pengenalan Calon-Calon Pemilihan UMNO Malaysia 2018 - 2021 di Dewan Mini Bistari, Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman

UMNO terus pertahan 4 perkara dalam Perlembagaan

AYER KEROH: UMNO akan terus mempertahankan empat perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan daripada digugat, kata calon Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, empat perkara itu adalah agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu.

"Kita lihat ada dalam kalangan tokoh politik hari ini yang cuba mencabar dan menyamakan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Walaupun Islam adalah agama Persekutuan seperti disebut dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, agama lain masih boleh diamalkan. Jadi, apabila soal agama ini mahu disamaratakan, saya fikir ia tidak boleh diterima kerana (dilindungi) Perlembagaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri dan Sesi Pengenalan Calon Pemilihan UMNO 2018-2021 di Dewan Bistari, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad; calon Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan dan calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ahmad Zahid berkata, walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini sebagai pembangkang, kerajaan hari ini tidak harus berbeza pendapat terhadap perkara yang sudah dilindungi dalam Perlembagaan.

Katanya, parti keramat orang Melayu itu akan terus mempertahan dan memperjuangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagaimana peranan penting golongan istana yang memberi perkenan bagi kemerdekaan negara.

"Maka, institusi Raja-Raja Melayu harus dipertahankan bukan saja oleh UMNO, tetapi semua rakyat di negara ini. Begitu juga soal hak istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu.

"Mengambil contoh Universiti Teknologi MARA (UiTM), tanah rizab orang Melayu dan bahasa Melayu, ia sudah termasuk dalam Perlembagaan. Kita bukan menolak hak bangsa lain, tetapi perkara ini sudah termaktub (dalam Perlembagaan)," katanya.

Dalam perkembangan lain, bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut berikrar untuk melakukan beberapa transformasi dalam UMNO dari semasa ke semasa jika diberi mandat untuk menerajui kepemimpinan parti berkenaan pada pemilihan Sabtu ini.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X