Jumaat, 29 Jun 2018 | 11:39am
DATUK Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto NSTP

Pemuda desak SPRM tarik balik pembekuan akaun UMNO

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menarik balik tindakan pembekuan akaun parti itu yang disifatkan sebagai tindakan melampau oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pergerakan itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, pembekuan berkenaan malah akan menganiayai pekerja parti yang akan menerima kesan terhadap pembayaran gaji bulanan mereka.

"Ia juga boleh merencatkan operasi parti yang bergerak secara sah dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi bebas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehubungan itu pergerakan itu membantah tindakan itu yang langsung tidak mencerminkan kerajaan PH yang kononnya berpaksikan keadilan dan kebebasan.

"SPRM seharusnya dapat memberikan justifikasi yang jelas, telus dan terbuka mengenai punca sebenar akaun UMNO dibekukan. Lazimnya dalam operasi sebelum ini, SPRM menjelaskan bahawa risikan dan intipan berbulan-bulan dilakukan sebelum sesuatu langkah pembekuan dibuat.

"Sebaliknya Ahli UMNO tidak pernah maklum bahawa berlakunya sebarang proses siasatan membabitkan perlanggaran undang-undang dalam aktiviti akaun rasmi UMNO.

"Dalam konteks ini Pemuda UMNO menuntut prinsip undang-undang iaitu seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dihormati oleh semua pihak termasuk SPRM," katanya.

Semalam, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan SPRM membekukan akaun UMNO Pusat dan UMNO Selangor, sehari selepas beliau mengumumkan agihan dana kepada UMNO negeri dan bahagian.

Menurut Asyraf lagi, ketika pentadbiran Barisan Nasional, kerajaan tidak pernah sesuka hati membekukan akaun parti lawan, walaupun pemimpin mereka berdepan atau disabitkan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah.

"Apakah ini sebahagian daripada model 'Malaysia Baharu' yang dicanangkan? Namun pada masa sama sewenangnya membuli parti lawan yang tidak sehaluan.

"Kami berpandangan tindakan ini hanya akan menggambarkan sikap sebenar Kerajaan PH yang rakus untuk melumpuhkan kekuatan parti UMNO, yang kini masih parti tunggal terbesar yang mewakili suara Melayu Islam dalam Dewan Rakyat.

"Dengan ini Pemuda UMNO memohon SPRM memberikan pertimbangan khas segera untuk perbelanjaan operasi harian seperti pembayaran gaji petugas UMNO dan lain-lain aktiviti yang bersifat 'perniagaan biasa', dibenarkan melalui akaun-akaun yang dibekukan ini," katanya.

Beliau berkata, Pemuda UMNO juga mengalu-alukan sebarang siasatan yang telus dan berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang.

"Pemangku Presiden (Ahmad Zahid) dalam konteks ini sudahpun memberikan jaminan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak SPRM," katanya.

36 dibaca
Berita Harian X