Jumaat, 29 Jun 2018 | 7:05pm
Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin berucap ketika Program Pagi Bersama Khairy Jamaluddin di Dewan 2020, Kangar. - Foto Azhar Ramli

KJ kecewa kenyataan Ku Li

KANGAR: Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin kecewa dengan tindakan pesaingnya pada pemilihan parti esok, Tengku Razaleigh Hamzah, menyindir keputusan beliau menawarkan diri bertanding jawatan nombor satu parti itu.

Katanya, tindakan Ahli Parlimen Gua Musang itu seolah-olah menunjukkan UMNO masih tidak mengamalkan sikap terbuka, khususnya dalam soal pemilihan pemimpin parti.

"Saya agak kecewa dengan kenyataan beliau (Tengku Razaleigh) semalam, kerana sebelum ini beliau meraikan keterbukaan dalam UMNO.

"Malah, sebelum ini juga, beliau sendiri menyebut UMNO perlu lebih terbuka, meraikan demokrasi dan menggalakkan persaingan sihat.

"Jadi dalam konteks ini (pemilihan Presiden), kenapa pula tiba-tiba dia berkata saya tidak layak bertanding ataupun tidak sepatutnya bertanding?" katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Khairy berkata, jika Tengku Razaleigh masih tetap dengan pendiriannya itu, UMNO akan kekal di takuk lama.

"Saya meraikan keterbukaan itu. Jadi siapa yang rasa dirinya layak bertanding, bertanding sahajalah dan tidak perlu untuk memandang rendah pada kelebihan orang lain.

"Kalau masih bersikap demikian, nampaknya kita (UMNO) tidak berjaya keluar dari takuk lama kerana sentiasa berfikiran orang muda tidak sesuai bertanding jawatan besar, kena tunggu dahulu dan sebagainya, pemikiran sebegini bukan UMNO yang baru," katanya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berharap perwakilan dapat menggunakan suara hati dalam memilih pemimpin esok, meskipun beliau sudah mendengar beberapa perkara tidak enak berhubung pemilihan jawatan nombor satu dalam parti itu.

Semalam, Tengku Razaleigh menyindir tindakan Khairy yang turut menawarkan diri bertanding merebut jawatan nombor satu parti itu.

Katanya, tindakan 'memandai' Khairy itu berisiko kerana bagi setiap pertandingan ada yang kalah dan menang.

Berita Harian X