Jumaat, 29 Jun 2018 | 8:25pm
TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto Roslin Mat Tahir

'Akaun PAS tidak dibeku'

KOTA BHARU: Pembekuan 900 akaun, termasuk UMNO dan parti lain yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berikutan mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak membabitkan PAS.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sehingga kini, akaun PAS tidak dibekukan, namun pihaknya ada membaca laporan daripada Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) yang meminta SPRM turut membekukan akaun PAS.

"PAS tidak gentar sekiranya ada pihak yang mahu menyiasat akaun parti. Kita tiada masalah kerana setiap tahun penyata akaun parti dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) selain dibentang setiap kali mesyuarat PAS berlangsung.

"Tiada apa yang perlu dibimbangkan dan bagi PAS, bukan akaun milik UMNO sahaja perlu disiasat berkait 1MDB, sebaliknya semua parti, bagi mengetahui sumber wang diperoleh.

"Kita dalam PAS, akaun parti bukan rahsia kerana sering dibentangkan berkaitan urusan pengaliran keluar masuk wang," katanya kepada NSTP, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, SPRM sudah membekukan 900 akaun yang mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1MDB, termasuk milik UMNO.

Sumber berkata, mereka yang mendapati tidak lagi mempunyai akses kepada akaun mereka sejak beberapa hari lalu, termasuk individu yang disiasat adalah kerana dipercayai ada kaitan dengan siasatan 1MDB.

Susulan itu, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil, hari ini menggesa pihak berkuasa menyiasat akaun pihak lain yang didakwa menerima wang daripada UMNO, termasuk PAS.

Katanya, pihak berkuasa perlu menyiasat akaun pihak lain yang menerima wang daripada UMNO, termasuk akaun PAS seperti didedahkan Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, bahawa PAS ada menerima RM1.5 juta daripada UMNO.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Hanafi Mamat, ketika dihubungi memaklumkan, akaun parti itu di negeri itu tidak dibekukan.

"Setakat ini, kita (UMNO Kelantan) tidak kena beku lagi. Kalau kena beku pun bukannya ada duit...UMNO Kelantan miskin," katanya.

43 dibaca
Berita Harian X