Sabtu, 30 Jun 2018 | 9:23am

Perwakilan UMNO pilih presiden, pimpinan baharu hari ini

KUALA LUMPUR: Mesyuarat perwakilan dan pemilihan UMNO peringkat Bahagian dan Majlis Tertinggi (MT) bermula hari ini dengan tumpuan pastinya terarah kepada perebutan jawatan presiden parti itu.

Sebelum ini, lima calon sudah diumumkan bertanding bagi jawatan nombor satu parti itu termasuk tiga tokoh utama iaitu Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Ketua Pemuda yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Dua lagi pencabar kerusi berkenaan yang kurang dikenali ialah anggota UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Mohamed Iqbal Maricair dan anggota UMNO Bahagian Iskandar Puteri Mohd Yusof [email protected].

Mesyuarat perwakilan UMNO akan bermula jam 9 pagi ini serentak di 191 bahagian dengan agenda utama hanya untuk memilih barisan kepimpinan peringkat Bahagian dan MT bagi sesi 2018-2021.

Jawatan timbalan presiden pula menyaksikan persaingan antara Ahli MT, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Tujuh calon lagi akan bertanding merebut tiga jawatan naib presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Sheikh Razali Sheikh Hamad, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Ahmad Said.

Seramai 106 calon pula akan bertanding merebut 25 jawatan sebagai ahli MT.

Perwakilan pada mesyuarat hari ini juga akan melakukan pengundian bagi memilih barisan kepimpinan peringkat bahagian.

Keputusan pemilihan jawatan tertinggi peringkat pusat dijangka diperoleh dan diumumkan pada sebelah malam oleh Ibu Pejabat UMNO, manakala keputusan peringkat bahagian akan diumumkan Pengerusi Tetap bahagian.

Sebelum ini, beberapa keputusan peringkat bahagian membabitkan jawatan Ketua Bahagian sudah diumumkan kerana tiada pertandingan antaranya termasuk bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Pekan.

Sabtu lalu, UMNO mengadakan mesyuarat perwakilan dan pemilihan bagi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

- BERNAMA

CALON Jawatan Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin ketika siaran langsung sesi Debat Presiden UMNO 2018 di Saluran Astro Awani, semalam.
Berita Harian X