Sabtu, 30 Jun 2018 | 3:00pm
ANNUAR Musa

Beku akaun bukan untuk selamanya - Annuar

KOTA BHARU: Ahli UMNO dinasihatkan tidak panik dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun UMNO, termasuk akaun Pusat dan beberapa negeri.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata tindakan itu hanya satu proses penyiasatan biasa berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kemudian ada dakwaan penyaluran wang daripada akaun tertentu yang sedang disiasat.

Calon Timbalan Presiden UMNO itu berkata, penyiasatan itu belum terbukti salah dan diharap ahli UMNO bersabar supaya isu ini boleh diselesaikan sepenuhnya secepat mungkin.

Beliau yang memenangi jawatan Ketua Bahagian UMNO Ketereh tanpa bertanding hari ini, berkata mengikut undang-undang, UMNO boleh memohon kepada mahkamah dan SPRM untuk menggunakan dana dalam akaun yang dibekukan terbabit untuk perkara rutin atau biasa dengan syarat mengemukakan asas keperluan.

"Tindakan pembekuan itu bukan dilakukan untuk selama-lamanya sebaliknya hanya sebahagian daripada proses penyiasatan isu 1MDB. SPRM tidak akan buat aniaya supaya UMNO tidak dapat bergerak atau sengaja bekukan (akaun) untuk isu lain.

"Apa yang kita boleh lakukan adalah melantik peguam bagi melihat daripada sudut undang-undang supaya tindakan berdasarkan undang-undang boleh diambil, misalnya membuat permohonan mahkamah (untuk guna dana) dan berurusan dengan SPRM.

"Kita perlu bekerjasama dengan SPRM sepenuhnya memandangkan polemik 1MDB sudah tiga tahun berlegar dan kita mahukan kebenaran yang kini tidak dapat lagi ditentukan secara mutlak selagi tidak dapat diputuskan di mahkamah," katanya ketika ditemui, di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh, di sini hari ini.

Akhbar semalam melaporkan, SPRM membekukan 900 akaun yang mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1MDB termasuk milik UMNO.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, cadangan Pemuda UMNO untuk melancarkan tabung khas bagi membiayai program parti boleh dipertimbangkan Ahli Majlis Tertinggi (MT), jika parti itu tidak dapat bergerak dan menggunakan dana daripada akaun yang dibekukan terbabit.

"Namun saya yakin SPRM tidak berniat begitu (tidak mahu UMNO bergerak), sebaliknya hanya membekukan akaun yang ada kaitan penyaluran dana kerana ia perlu mengikut jalur undang-undang. Kalau akaun orang lain boleh dibekukan, kenapa akaun UMNO tidak boleh?

"Jadi kalau ada perkara yang menyalahi undang-undang sudah tentu proses undang-undang atau 'rule of law' perlu ambil tempat tanpa memilih 'bulu'," katanya.

35 dibaca
Berita Harian X