Sabtu, 30 Jun 2018 | 7:25pm
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. - Foto Aizuddin Saad

Beku akaun wajar untuk bantu siasatan- Adnan

BENTONG: Badan Perhubungan UMNO Pahang menerima pembekuan akaun bank miliknya sebagai wajar bagi memberi laluan kepada penyiasatan oleh pihak berkuasa berhubung pelbagai isu berbangkit.

Mengesahkan akaun bank berkenaan sudah dibekukan, Pengerusinya, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

"Saya bertemu dengan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) pada 19 Jun lalu dan Tun Daim Zainuddin bertanyakan sama ada kami ada mendapat bantuan kewangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)...saya kata Badan Perhubungan UMNO Pahang mendapat dua keping cek.

"Saya ada menyimpan dokumen seperti salinan imbasan dan penyata kewangan, ini memudahkan pihak berkenaan membuat siasatan.

"Tindakan ini wajar bagi membantu siasatan, namun saya hairan akaun UMNO Bahagian Bentong pun turut dibekukan dan saya diberitahu kita ada mendapat cek...kita terbuka dalam siasatan dilakukan pihak berkuasa," katanya ditemui selepas mesyuarat UMNO Bahagian Bentong di Dewan Arena, dekat sini, hari ini.

Baru-baru ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memangku jawatan Presiden UMNO mendedahkan SPRM membekukan akaun UMNO Pusat, UMNO Selangor dan UMNO Johor.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai membekukan akaun yang mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam pada itu, Adnan berkata, walaupun berdepan tindakan pembekuan akaun berkenaan pihaknya akan terus bergerak namun dengan cara lebih bersederhana.

"UMNO ketika mula penubuhannya dahulu pun bukan senang tetapi kita ada semangat, jika kita ambil semula semangat berkenaan maka tiada masalah untuk bangkit semula," katanya.

Selain itu, Adnan berkata, ahli UMNO harus menerapkan tiga aspek bagi mengembalikan semula martabat parti itu supaya ia diterima rakyat pada masa depan.

"Tiga aspek itu adalah mempunyai jiwa kuat serta roh suci, penampilan dan kelakuan yang baik...InsyaAllah kita akan mendapat kepercayaan rakyat," katanya.

20 dibaca
Berita Harian X