Isnin, 2 Julai 2018 | 10:42pm
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kanan) bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga, kiri) mengangkat tangan bersama Ahli Majlis Tertinggi selepas sidang media memperkenalkan Ahli Majlis Tertinggi yang baharu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam. Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua, kiri); Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (kiri); Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan). - Foto Syarafiq Abd Samad

Barisan kepemimpinan baharu UMNO bukti perwakilan mahu kesinambungan

KUALA LUMPUR: Senarai kepemimpinan baharu UMNO yang diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperlihatkan akar umbi mahu kesinambungan pemimpin selaras usaha penjenamaan semula parti itu.

Pada pandangan penganalisis politik, barisan dipilih itu juga membuktikan lebih 150,000 perwakilan UMNO mahu perjuangan diteruskan kepemimpinan yang sudah lama dan setia kepada parti.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berpendapat ahli UMNO memilih Ahmad Zahid yang menewaskan empat calon lain, termasuk veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kerana mahu meneruskan kesinambungan kepemimpinan sedia ada.

Beliau berkata, perwakilan mungkin tidak memilih Tengku Razaleigh kerana sudah lama tiada dalam barisan kepemimpinan utama parti, selain pernah meninggalkan UMNO dengan menubuhkan parti Semangat 46.

"Khairy Jamaluddin pula mungkin popular dalam kalangan pemimpin parti yang muda tetapi idea beliau mahu membuka UMNO kepada bangsa lain nampaknya tidak dapat diterima oleh perwakilan. Ini kerana kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan disebabkan UMNO yang masih memenangi 54 kerusi Parlimen," katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas mengenai senarai kepemimpinan baharu UMNO diterajui Ahmad Zahid yang diumumkan UMNO, semalam.

Pada pemilihan UMNO, Sabtu lalu, jawatan Timbalan Presiden pula dimenangi bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menewaskan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Bagi jawatan Naib Presiden, tiga calon dipilih ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mereka berjaya mengetepikan empat lagi calon, iaitu Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Ahmad Said dan Sheikh Razali Sheikh Hamad.

Awang Azman berkata, pemilihan UMNO kali ini berlangsung dalam suasana paling terbuka untuk perwakilan membuat penentuan.

"Barisan kepemimpinan ini jelas memperlihatkan budaya politik sebenar dalam UMNO walaupun pemilihan kali ini paling terbuka kerana membenarkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan," katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata barisan kepemimpinan baharu UMNO tidak menggambarkan kekuatan kemahuan ahli untuk menjenamakan semula parti itu.

Katanya, beliau percaya perwakilan hanya mengundi calon yang mereka 'kenal' dan tidak berani menukar kepemimpinan secara drastik.

"Perwakilan nampaknya tidak berani melaksanakan perubahan drastik. Orang luar secara umum kecewa dengan barisan baharu terdiri daripada pemimpin lama yang kini dalam kedudukan berbeza.

"Malah, janji dalam manifesto Ahmad Zahid tidak jelas dan tiada perubahan khusus untuk perubahan parti itu," katanya.

Beliau berkata, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh memberikan manifesto yang jelas untuk meremajakan parti politik berusia 72 tahun itu.

Sementara itu, Annuar seperti dilaporkan dalam UMNO-Online, menyifatkan alasan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin untuk menjadi wakil rakyat Bebas adalah sangat lemah.

Annuar menegaskan, dakwaan kononnya bekas Ketua Puteri UMNO itu mengharapkan 70 peratus 'muka baharu' terpilih ke Majlis Tertinggi (MT), adalah tidak munasabah.

Hakikatnya, beliau berkata, lebih separuh daripada ahli MT dipilih kali ini adalah muka baharu.

Berita Harian X