Sabtu, 21 Julai 2018 | 1:01pm
OTHMAN Mahmood. - Foto Syarafiq Abd Samad

80 peratus dijangka keluar mengundi

SHAH ALAM : Kira-kira 80 peratus pengundi dijangka menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood berkata, beberapa penambahbaikan juga dilakukan pada PRK kali ini iaitu mewujudkan dua saluran bagi pengundi yang berusia 60 tahun ke atas.

Katanya, PRK Sungai Kandis juga akan menyaksikan tambahan waktu mengundi selama 30 minit.

"Tambahan waktu mengundi selama 30 minit iaitu dari jam 8 hingga jam 5.30 petang berbanding sebelum ini pada jam 8 pagi hingga 5 petang saja.

"Sebanyak 21 saluran baharu di Pusat Mengundi yang ramai pengundi juga dilakukan, menjadikan jumlah keseluruhan saluran mengundi sebanyak 109 saluran," katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon PRK Sungai Kandis di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19 di sini, pagi tadi.

Beliau berkata, SPR mengharapkan tempoh berkempen berjalan dengan aman dan harmoni, tanpa gangguan selain semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihaknya serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, bagi tujuan pemantauan kegiatan kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR sudah menubuhkan satu Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) selaras dengan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada masa sama, Othman berkata, SPR sudah melantik 69 pemerhati pilihan raya dalam kalangan anggota SUHAKAM, Ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk memantau proses pilihan raya itu.

Berita Harian X