Sabtu, 4 Ogos 2018 | 1:10am
PEMANDANGAN waktu senja di Kampung, Pandan dan Jawa dari atas Jalan Bukit Jati yang terletak dalam kawasan DUN Sungai Kandis. - Foto hiasan

Ahli PAS jangan bersikap berkecuali

KLANG: Pemimpin akar umbi PAS malam ini menyatakan secara terbuka meminta ahlinya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, terutama Bandar Puteri, supaya turun mengundi calon Barisan Nasional (BN), esok.

Yang Dipertua PAS kawasan Bandar Puteri, Sulaiman Mahbob turut meminta ahli PAS jangan bersikap berkecuali untuk tidak mengundi.

Beliau berkata, ahli PAS mesti mengundi bagi menunaikan tanggungjawab dan menyempurnakan hak, disamping menghantar isyarat jelas kepada Pakatan Harapan (PH).

"Kepada ahli PAS, mengundilah calon yang kurang beri mudarat. Sekarang ini yang kurang memberi mudarat adalah yang sama-sama dengan kita sebagai pembangkang.

"Jadi 'level' (tahap) kita sekarang sama saja. Esok (hari mengundi, ahli PAS) jangan berkecuali (tidak mengundi) dan undilah Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada satu majlis mesra rakyat anjuran Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Seri Gading di Flat Seri Ayu di Bandar Puteri, di sini.

Turut sama hadir dalam program itu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu Asyraf Wajdi berkata, beliau sendiri memberi jaminan jika BN menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, sayap UMNO itu akan mengerahkan jentera dari seluruh negara untuk berkempen menyokong calon PAS.

"Ini ucapan saya sebagai Ketua Pemuda UMNO. Saya beri jaminan jika BN menang di Sungai Kandis, pemuda UMNO akan digerakkan dari seluruh negara termasuk dari Sabah untuk bantu calon PAS.

"Kita akan turun bagi bersama membantu kempen PAS di PRK DUN Seri Setia," katanya.

Asyraf Wajdi juga berkata, komitmen UMNO dan PAS untuk membentuk kerjasama berpaksikan kepada realiti politik hari ini yang memerlukan supaya parti Melayu bersatu.

Berita Harian X