Ahad, 26 Ogos 2018 | 7:45pm
CALON PAS bagi PRK DUN Seri Setia, Dr Halimah (duduk tengah) pada sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Blok pembangkang nyata sokongan kepada calon PAS

SHAH ALAM: Blok parti pembangkang menyatakan sokongan penuh bagi membantu jentera kempen PAS, sekali gus memastikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, bulan depan.

Selain UMNO dan MIC, kerjasama politik itu membabitkan Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama semua pihak yang ingin membantu, terutama bagi gerak kerja kempen mengikut penyelarasan yang disusun parti itu.

Katanya, kerjasama itu membabitkan kempen turun padang bersama calon PAS dan parti berkenaan menjalankan gerak kerja menemui ahli masing-masing supaya memberi undi kepada PAS.

“Selain itu, ia merangkumi penyelarasan program yang akan dilaksanakan mereka bersama calon kita sepanjang tempoh kempen pilihan raya ini.

“Alhamdulillah, semua kerjasama berkenaan berjalan dengan baik setakat ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk PRK itu di Pejabat Badan Perhubungan PAS Selangor di sini, petang tadi.

Yang turut hadir, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad; Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi dan calon PAS, Dr Halimah Ali.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya sudah mengarahkan semua jentera PAS dari seluruh negara membantu kempen mengikut zon gerak kerja yang ditetapkan.

“Kita menjangkakan purata 200 ahli dari setiap negeri akan turun padang bermula esok merangkumi Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Ulama dan Dewan Himpunan Penyokong PAS,” katanya.

Ditanya kerjasama oleh MCA kerana kawasan DUN itu turut merangkumi pengundi Cina, beliau berkata, pihaknya belum dimaklumkan mengenainya dan menganggap parti berkenaan mungkin lebih memfokuskan kepada PRK Balakong.

“Secara keseluruhannya, kita masih tidak nampak sokongan (pengundi Cina) secara jelas setakat ini. Namun, kita percaya kaum itu berpegang teguh kepada kepercayaan atau kesetiaan dan marah dengan pembohongan oleh pemimpin seperti Manifesto 100 hari Pakatan Harapan (PH).

“PAS bagaimanapun mengharapkan MCA akan turut hadir membantu walaupun kita memahami jentera mereka menumpukan kepada calon mereka di Balakong,” katanya.

Sementara itu, Dr Halimah berkata, Selangor memerlukan pembangkang yang kuat bagi menjadi suara semak dan imbang biarpun penambahan jumlah kerusi DUN mungkin hanya kecil berbanding PH.

“Bukan soal tambah hanya menjadi lima atau enam kerusi dan tidak memberi impak, namun kita mahu memastikan suara rakyat didengari terutama berkaitan soal kebajikan dan masalah kebersihan di kawasan perumahan.

“Saya mahu menjadikan DUN Seri Setia, terutama di kawasan bandar dilabelkan sebagai ‘liveable’ (boleh didiami) setaraf status bandar raya Petaling Jaya,” katanya.

PRK Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia akibat barah usus di Hospital Putrajaya, 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin menang kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.

23 dibaca
Berita Harian X