Jumaat, 7 September 2018 | 1:06pm
KETUA Dewan Pemuda PAS (DPPM), Muhammad Khalil Abdul Hadi. - Foto Baharom Bakar

PAS, UMNO kekalkan persefahaman politik hingga PRU-15?

KUALA TERENGGANU: Persefahaman politik antara PAS dan UMNO dijangka tidak hanya membabitkan Pilihan Raya Kecil (PRK) sebaliknya dijangka berterusan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Dewan Pemuda PAS (DPPM), Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata bibit permulaan persefahaman politik antara PAS dan UMNO berlaku apabila satu pihak bersetuju untuk tidak meletakkan calon jika ada pihak berhasrat untuk bertanding pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Di samping itu, beliau yang juga juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Batu Buruk, berkata persefahaman juga dicapai apabila dua parti itu menjalinkan kerjasama dalam menjayakan kempen memenangkan calon PAS, Dr Halimah Ali pada PRK DUN berkenaan.

“Persefahaman ini dicapai selepas saya mengadakan perjumpaan dan perbincangan tertutup dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki beberapa hari sebelum hari penamaan calon DUN Seri Setia.

“Hasil pertemuan dan perbincangan persefahaman politik antara dua parti Islam terbesar di negara ini bukan sahaja membabitkan Ketua DPPM dan Ketua Pemuda UMNO, tetapi turut disusuli Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Mohd Salleh serta Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad,” katanya kepada NSTP di pejabat Penyelaras DUN Batu Burok, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, perbincangan bagi mengelakkan pertandingan melebihi dua penjuru terutamanya membabitkan calon PAS dan UMNO itu diadakan selepas pertemuan pimpinan tertinggi UMNO dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya lagi, persefahaman politik dengan UMNO itu antara tajuk utama akan dibahaskan perwakilan sempena Muktamar DPPM ke-59, selama dua hari mulai Khamis depan.

“Secara peribadi saya melihat aspek lebih meluas persefahaman politik antara PAS dan UMNO, tetapi saya berpandangan kelangsungan politik Melayu Islam itu sendiri kerana ia bukan sahaja membabitkan parti politik, sebaliknya pembabitan NGO (badan bukan kerajaan) dan beberapa individu dalam masyarakat Islam.

“Mereka mengharapkan ada usaha parti politik Melayu Islam melakukan sesuatu bagi menjamin ancaman ke atas masyarakat Islam dalam negara dapat di bendung dan harapan utama mereka adalah kepada PAS dan UMNO,” katanya.

Muhammad Khalil berkata, isu lain yang akan dibahas perwakilan adalah pencapaian cemerlang PAS apabila berjaya memenangi 18 kerusi Parlimen serta 90 kerusi DUN di seluruh negara, selain berjaya melebarkan pengaruh di Pahang dan mengekalkan kemenangan di Kelantan serta menawan semula Terengganu pada PRU lalu.

64 dibaca
Berita Harian X