Sabtu, 8 September 2018 | 11:23pm

BERSATU tak terima anggota mata duitan

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menolak kehadiran anasir luar dan mereka yang bermata duitan cuba menghimpit parti itu demi kelangsungan politik masing-masing, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata anggota parti lain yang cuba berhijrah ke BERSATU akan ditapis terlebih dulu dan tidak diterima sewenang-wenangnya.

“Yang kaki bodek, kepala masam mata duitan, kutuk kita sebelum ini, timbulkan masalah, depa boleh ‘stay’ dalam UMNO.

“Musuh-musuh siap sogok beberapa pemimpin kita untuk tinggalkan BERSATU, arah bekas pemimpin yang tidak ikhlas buat sidang media untuk hentam perjuangan kita sehingga mereka terkantoi,” kata Menteri Besar Kedah itu pada sambutan ulang tahun kedua BERSATU di Stadium Malawati, di sini malam ini.

Turut hadir, Pengerusi BERSAT, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Mukhriz berkata jika BERSATU ingin perjuangannya terus berkekalan, parti itu perlu bersiap sedia dengan perubahan landskap politik negara dan tidak leka dengan serangan musuh.

“Dengan persiapan dan perancangan rapi, kehadiran musuh akan memberi kita kekuatan untuk meningkatkan keyakinan rakyat, khasnya orang Melayu kepada kita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Armada BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mahu anggota parti itu sentiasa bermuhasabah dan tidak terus merasa selesa dengan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Dua tahun sudah kalian berjuang dan dalam tempoh itu pelbagai rintangan sudah dilalui termasuk tidur di dalam kereta di setiap negeri yang dijelajahi, tidak mempunyai dana yang mencukupi dan pelbagai ugutan diterima, namun rintangan itu semua dapat dilalui.

“Hari ini apabila kita sudah dalam kerajaan, jangan lupa semua itu. Kita perlu budaya politik baharu, tidak perlu bermewah, bermegah-megah dan kekalkan jati diri yang ada supaya kita dekat dengan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Srikandi BERSATU, Rina Mohd Harun pula berkata parti perlu memperkukuh pasak supaya agenda pembangunan negara, bukan saja dalam tempoh lima tahun ini, tetapi dapat terus menjadi juara dan meninggalkan legasi kepada masyarakat.

“Kita tidak boleh terus lalai dibuai leka, jangan berpeluk tubuh, sebaliknya memperbaharui tekad dengan mengambil segala peluang dan ruang supaya BERSATU lebih progresif dan mempunyai semangat juang tinggi,” katanya. - BERNAMA

38 dibaca
PERDANA Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad menaikkan bendera PPBM pada Majlis Ulangtahun ke-2 PPBM di Stadium Malawati. - Foto Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X