Khamis, 13 September 2018 | 8:48pm
KETUA Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki (lima dari kanan) bersalaman bersama Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP), Muhammad Khalil Abdul Hadi (lima dari kiri) sambil diperhatikan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah) semasa hadir pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-59 di Duyong Marina & Resort. - Foto Ghazali Kori

Pembangkang bersama bina semula negara - Tuan Ibrahim

KUALA TERENGGANU: Bayangan mengenai kemungkinan wujud kerjasama lebih erat antara PAS dan UMNO selepas ini semakin terserlah pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke-59 di sini, hari ini.

Ia berdasarkan ucapan perasmian Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta semua ahli parti meningkatkan taat dan walak (kecintaan dan kesetiaan kepada pemimpin) terhadap apa sahaja keputusan besar bakal dibuat parti itu.

“Marilah kita sama-sama meningkatkan taat dan walak kepada keputusan parti. Apa saja keputusan besar parti semuanya dibuat oleh Majlis Syura Ulama dan dibincangkan dalam muktamar khas, diberi peluang kepada semua beri pandangan lalu kita buat keputusan.

“Patuhilah kepada keputusan selepas kita muafakat dan kita menerima dan menghormati keputusan itu,” katanya.

Turut hadir menyertai hampir 1,000 perwakilan Pemuda PAS ialah Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Timbalan Ketua, Khairil Nizam Khiruddin dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ditanya lanjut mengenai perkara itu pada sidang media, Tuan Ibrahim berkata, kerjasama politik penting demi masa depan negara dan perlu dilihat dalam kepentingan bersama, apatah lagi rakyat semakin kecewa dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, berkata parti politik pembangkang akan duduk bersama untuk melihat masa depan negara yang lebih baik.

“Saya fikir masa depan negara perlu dilihat dalam kepentingan bersama. Semua rakyat inginkan sebuah negara yang harmoni dan sejahtera dan semua rakyat melihat pembinaan semula sebuah negara yang perlu dibuat.

“Rakyat beri harapan besar kepada PH, tetapi mereka kecewa terutama apabila Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dibatalkan. Orang miskin kecewa. Bagi orang miskin, nelayan, mereka susah apabila BR1M ditarik balik,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, apa pun keputusan yang dibuat parti tidak akan dilakukan secara semborono atau di luar kerangka demokrasi parti.

“Keputusan besar mesti melalui Majlis Syura Ulama. Sama juga seperti ketika PAS mahu menyertai Barisan Nasional (BN) dahulu, kita melalui proses yang sama, bukan secara semborono dan ahli perlu patuh kepada keputusan yang dibuat bersama,” katanya.

Dalam ucapan perasmiannya, Tuan Ibrahim turut mengingatkan perwakilan supaya tidak memperbesarkan perkara remeh, sebaliknya mengutamakan perkara yang menjadi keperluan bagi rakyat dan negara.

Berita Harian X