Khamis, 13 September 2018 | 9:25pm
TIMBALAN Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Ke-59. - Foto Mohd Khairul Fikiri Osman

Syor gubal undang-undang kosong kerusi, lompat parti

KUALA TERENGGANU: PAS mahu kerajaan menggubal undang-undang mengelak wakil rakyat meletak jawatan sewenang-wenangnya bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang disifatkan parti itu sekadar permainan politik pihak berkepentingan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan PRK Port Dickson sebagai sesuatu yang tidak perlu dan pembaziran wang ketika negara dihimpit isu beban hutang.

Beliau berkata undang-undang seumpamanya penting bagi mengelak wakil rakyat mengosongkan kerusi yang bukan atas sebab munasabah seperti kematian atau muflis.

Katanya, PAS sudah membuat keputusan tidak akan meletakkan calon pada PRK itu dan memberi peluang pada parti lain untuk bertanding, namun menjanjikan sokongan dan bantuan jentera sekiranya UMNO meletakkan calon mereka.

“PRK Port Dickson ini tidak ada keperluan untuk diadakan, hanya pembaziran ketika negara dikatakan menghadapi masalah kewangan yang serius, sampai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pun dibatalkan dan rakyat miskin menderita.

“Tiba-tiba kita adakan PRK yang tiada keperluan. Sebenarnya PRK ini perlu diadakan ketika kita ada kematian atau wakil rakyat bankrap umpamanya, bukan dalam kes untuk memberi laluan bagi kepentingan politik individu tertentu.

“Mungkin satu peraturan perlu digubal supaya ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri tidak sewenang-wenangnya meletak jawatan kerana hendak beri laluan kepada orang tertentu.

“Mungkin selepas ini nak beri laluan kepada bapa saudara, ibu saudara pula, sudah jadi cacamarba pula,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke-59 di Pulau Duyong di sini, hari ini.

Turut hadir menyertai hampir 1,000 perwakilan Pemuda PAS ialah Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Timbalan Ketua, Khairil Nizam Khiruddin dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Tuan Ibrahim turut mencadangkan kerajaan menggubal peraturan antilompat parti, bagi mengelak wakil rakyat bertukar parti yang sekali gus mengkhianati kepercayaan diberi rakyat.

“Sebab wakil rakyat yang menang atas nama satu parti, dia dianggap khianat kepada pengundi kalau dia lompat parti dan kita harap kerajaan boleh gubal peraturan untuk sekat mana-mana ahli Parlimen yang menang untuk lompat parti.

PRK Parlimen Port Dickson akan diadakan selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi berkenaan.

Ia bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding PRK dalam usaha Pakatan Harapan mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri kelapan.

Berita Harian X