Ahad, 16 September 2018 | 5:27pm
TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto Ghazali Kori

Pelampung PAS selamatkan UMNO

KUALA NERUS: "PAS akan menjadi pelampung yang menyelamatkan UMNO daripada hanyut."

Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, itu seharusnya menghilangkan kegusaran segelintir pihak dalam parti berhubung kerjasama dengan UMNO yang rancak kedengaran kebelakangan ini.

Beliau berkata, ada pihak dalam PAS melahirkan kebimbangan kalau-kalau PAS tidak lebih daripada ‘pelampung’ yang bakal dipergunakan UMNO.

Katanya, PAS akan memastikan dasar dan asas perjuangannya sentiasa terpelihara, walaupun bergandingan dalam perkara tertentu dengan UMNO.

“PAS tidak akan menjadi ‘pelampung’ kepada kemungkaran, sebaliknya pelampung yang menyelamatkan mereka (UMNO).

“Kita nak selamatkan mereka daripada ‘hanyut’, seperti mana dituntut Islam,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Muktamar PAS ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim turut mengulas kenyataan MCA yang mendakwa ikatan Barisan Nasional (BN) bakal terlerai kerana UMNO bakal bekerjasama dengan PAS.

“PAS wujud sejak 67 tahun lalu, parti kita mematuhi undang-undang negara dan Perlembagaan.

“Kita masih memerintah Kelantan dan Terengganu serta pernah juga berkuasa di Kedah.

“Lihat rekod prestasi kita. PAS bukan parti ekstrim tetapi MCA mempunyai masalah kerana kita membawa nama Islam,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, PAS tidak akan menentang MCA secara fizikal, tetapi akan memberi penjelasan dan berkomunikasi dengan mereka.

“Kita mesti sabar dan istiqamah, bukan macam ada kawan kita yang meninggalkan parti.

“Saya yakin Islam akan kembali memerintah dunia menerusi akhlak dan tindakan mulia, bukannya peperangan dan kekerasan,” katanya.

Berita Harian X