Khamis, 20 September 2018 | 5:13pm
ANNUAR pada sesi taklimat dan sidang media berhubung penganjuran Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Menara Dato Onn, hari ini. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
ANNUAR pada sesi taklimat dan sidang media berhubung penganjuran Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Menara Dato Onn, hari ini. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Ramai ahli bagi pinjam wang - Annuar

KUALA LUMPUR: UMNO masih mampu berfungsi seperti biasa walaupun akaun parti dibekukan susulan siasatan pihak berkuasa terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata ramai ahli parti tampil membantu UMNO dari aspek kewangan bagi membolehkan segala aktiviti yang dirancang, dapat dilaksanakan.

“Anda belum nampak kita mengedarkan tempurung untuk minta sedekah, perjalanan parti seperti biasa. Kita berjalan biasa sebagai sebuah parti walaupun kita tahu akaun parti masih dibekukan.

“Kita tiada masalah sebab berasakan kita bertanggungjawab untuk memberikan kerjasama kepada pihak atau badan yang sedang melakukan penyiasatan asalkan ia tidak dilakukan secara membalas dendam atau tindakan berbaur politik untuk melumpuhkan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat dan sidang media berhubung penganjuran Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Annuar berkata, UMNO sentiasa positif dan maklum bahawa pembekuan akaun parti adalah bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan yang diperlukan.

“Perjalanan parti dengan akaun dibekukan, kita teruskan seperti biasa termasuk menganjurkan Perhimpunan Agung parti dan kita mempunyai ahli yang tampil membantu termasuk mendahulukan, memberi pinjaman kepada parti dan sebagainya.

“Segala aktiviti parti masih mampu dijalankan seperti biasa kerana kita mendapat sokongan daripada ahli kita yang prihatin,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan beberapa akaun termasuk UMNO Pusat dan negeri dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung 1MDB.

Berita Harian X