Jumaat, 28 September 2018 | 1:23pm

PRK PD: 2 jalan ditutup esok

PORT DICKSON: Dua jalan berhampiran pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson di Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini, akan ditutup secara berperingkat bagi memberi laluan kepada perarakan penyokong, esok.

Ketua Polis daerah, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata laluan terbabit ialah Jalan Bypass bermula di persimpangan lampu isyarat Jalan Shell Gate hingga ke persimpangan lampu isyarat berhampiran kedai sukan Al-Ikhsan.

Katanya, satu lagi laluan yang ditutup ialah Jalan Pantai bermula di persimpangan lampu isyarat Al-Ikhsan hingga ke persimpangan lampu isyarat Sekolah Tinggi Port Dickson.

Beliau berkata, kedua-dua jalan itu ditutup pada jam 8 pagi hingga 9 pagi dan 11 pagi hingga 12 tengah hari bagi membolehkan penyokong semua parti berarak pergi dan pulang dari pusat penamaan calon.

“Pengguna jalan raya diminta tidak masuk ke pusat bandar pada waktu puncak. Orang ramai yang tidak terbabit dalam perarakan dinasihatkan merancang perjalanan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Aidi Sham berkata, pengguna jalan raya dari Lukut yang mahu menuju ke Telok Kemang boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Lebuh Raya Seremban-Port Dickson.

“Dari arah Lukut menuju pusat bandar, mereka boleh melalui Kampung Paya hingga ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dan sebaliknya. Bagi arah Telok Kemang menuju ke pusat bandar, pengguna perlu melalui Lebuh Raya Seremban-Port Dickson dan keluar mengikut susur keluar Lukut,” katanya.

Katanya, berikutan hari penamaan calon diadakan esok yang bertembung dengan kehadiran ramai pengunjung yang bercuti, keadaan jalan dijangka sesak dan pemandu dinasihatkan supaya bersabar.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaluddin, berkata kira-kira 800 anggotanya akan dikerahkan bertugas sepanjang PRK berlangsung.

Katanya, mereka mula bertugas malam ini bagi mengawal hari penamaan calon, aktiviti kempen, pengundian awal pada 9 Oktober dan pengundian sebenar pada 13 Oktober.

“Pihak polis akan sentiasa memastikan aspek keselamatan dan lalu lintas terkawal. Orang ramai dinasihatkan memberi kerjasama sepanjang PRK,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berita Harian X