Sabtu, 29 September 2018 | 3:42pm
DATUK Dr Asyraf Wajdi Dusuki berucap dalam Persidangan Pemuda UMNO, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. - Foto BERNAMA

Pemuda UMNO garis 5 teras kebangkitan

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menggariskan lima teras untuk pergerakan itu menggerakkan agenda penting mengukuhkan dan reformasi parti bagi mendapatkan kembali sokongan rakyat.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata lima teras itu ialah Menjuarai Agenda Rakyat, Menyantuni Kepelbagaian Anak Muda, Memperkukuh Nilai Inklusif, Pengislahan Pemuda dan Penjenamaan Semula Pemuda.

“Menjadi Juara Rakyat adalah menjadi pembangkang berwibawa. Menjadi pembangkang berwibawa adalah menjadi lidah penyambung suara rakyat, mata telinga pemelihara kepentingan rakyat.

“Bagi tujuan ini, Pemuda harus mula memantau kerajaan dari pucuk pimpinan hinggalah ke peringkat akar umbi. Dari setiap kementerian, jabatan hinggalah ke peringkat agensi negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Memantau semua dasar dan projek yang dilaksanakan agar tidak ada lagi penyelewengan, ketirisan mahupun pembaziran. Setiap salah laku dan penyimpangan yang dilakukan mesti segera dilaporkan dan disuarakan tanpa gusar dan goyah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Persidangan Pemuda UMNO, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Beliau juga berkata, Pemuda UMNO harus memaksimumkan penggunaan teknologi maya untuk berkomunikasi dengan anak muda dengan menguasai media sosial yang banyak mempengaruhi sikap, mencorak minda dan membentuk pendirian mereka.

“Bermula hari ini, tiada lagi pintu Pemuda yang ditutup rapi, tiada lagi masalah memohon menjadi ahli berkali-kali. Jaminan saya, tiada lagi bakat anak Melayu diketepi, syaratnya mesti ikhlas dan tulus dengan perjuangan UMNO,” katanya.

Menerusi teras ketiga, Pemuda berpendirian kerjasama dalam bentuk Barisan Nasional pada hari ini perlu disemak semula.

“Suatu bentuk gagasan politik baharu yang melangkaui gabungan BN mesti segera diusahakan. Gagasan ini tidak hanya diwakili oleh parti-parti komponen BN yang masih tinggal, bahkan harus disertai parti lain daripada blok pembangkang.

“Bagi tujuan ini, Pemuda mencadangkan satu pasukan khas mewakili semua parti komponen segera dibentuk,” katanya.

Bagi teras keempat, Asyraf Wajdi berkata ia membabitkan lima agenda atau 5P iaitu pengkaderan, pentarbiyahan, pembudayaan ilmu, pemerkasaan rohani, dan pengukuhan jati diri.

Teras kelima pula, Pemuda UMNO katanya perlu tampil untuk melayakkannya menjadi model dan jelmaan sebenar ciri-ciri keunggulan Islam dan Melayu sebenar.

18 dibaca
Berita Harian X