Ahad, 30 September 2018 | 2:55pm
WAKIL UMNO Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Ismail Aziz membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah
WAKIL UMNO Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Ismail Aziz membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

'Cara bertindak selepas parti kalah tunjuk diri sebenar'

KUALA LUMPUR: Perwakilan menyelar sikap pemimpin dan bekas pemimpin UMNO yang memandang jijik ideologi dan falsafah perjuangan parti selepas parti itu kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Wakil UMNO Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata ada pemimpin yang apabila kalah berasa begitu malu dengan ideologi dan falsafah politik yang dipegang parti sehingga mereka mahu mengubahnya secara total.

“Ini seolah UMNO ini terlalu buruk dan kotor, seolah-olah ideologi dan falsafah perjuangan UMNO ini terlalu menjijikkan.

“Ada orang, apabila kalah, hari pertama lagi sudah menyalahkan pasukan dan anggotanya. Ada orang apabila kita kalah dia meninggalkan pasukan, di waktu (parti) memerlukan khidmatnya.

“Cara bertindak selepas kalah menunjukkan siapa diri kita sebenar, sama ada kita pemimpin yang baik atau pemimpin yang hanya hendak melepaskan tengkuk sendiri,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di sini hari ini.

Tun Faisal berkata, persoalan paling penting, bukan kalah atau menang tetapi bagaimana ahli dan pemimpin menerima dan berhadapan dengan kekalahan.

“Kita boleh meratap dengan kekalahan kita, menyalahkan semua ahli pasukan melainkan diri kita malah meninggalkan pasukan.

“Atau kita boleh mengambil tanggungjawab, mengaku kelemahan kita, mengkaji punca kekalahan, merangka perancangan dan seterusnya bingkas bangkit dan berusaha untuk menang di masa hadapan.

“Saya setuju apabila presiden kata, meninggalkan parti sewaktu parti diuji , bukan sifat terpuji. Lebih-lebih lagi apabila memberi alasan yang dangkal dan menyelar UMNO dalam kenyataan ketika meninggalkan parti,” katanya.

Selain itu, katanya, walaupun UMNO perlu berubah, ia tidak boleh diubah menjadi sebuah parti sosialis dan menyokong fahaman liberalisme dan sekularisme semata-mata hanya untuk mendapat undi.

Berita Harian X