Rabu, 10 Oktober 2018 | 1:26pm
Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim duduk bersama dengan orang ramai ketika hadir pada Ceramah di Bandar Baru Sunggala - Dun Linggi sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P132 Port Dickson di Waterfront, Port Dickson. - Foto Aswadi Alias
Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim duduk bersama dengan orang ramai ketika hadir pada Ceramah di Bandar Baru Sunggala - Dun Linggi sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P132 Port Dickson di Waterfront, Port Dickson. - Foto Aswadi Alias

Oh, di situ rupanya Anwar...

PORT DICKSON: Ceramah kempen Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bandar Baru Sunggala malam tadi, agak berbeza berbanding siri kempennya sejak 29 September lalu.

Kelainan itu hanya disedari apabila hadirin mula memberi perhatian kepada seorang lelaki berkemeja putih yang duduk dalam kalangan kira-kira 100 hadirin di bawah khemah sambil khusyuk mendengar ceramah Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Mereka hanya menyedari ia adalah Anwar selepas tidak melihat kelibat Ketua Umum PKR itu duduk bersama tetamu kenamaan di kerusi hadapan khemah.

Seorang penduduk setempat, Asmah Alias, 56, terkejut melihat calon Pakatan Harapan (PH) bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson itu tidak duduk di hadapan seperti lazimnya, sebaliknya bersama rakyat.

“Tidak pernah saya lihat bakal wakil rakyat duduk mendengar ceramah kempen diatur untuknya bersama rakyat, di situ rupanya dia.

“Ramai yang tidak melepaskan peluang bergambar bersama beliau, termasuk saya yang duduk di kerusi hadapannya,” katanya ketika ditemui NSTP di sini, malam tadi.

Selepas kira-kira 20 minit mendengar ceramah pemimpin rakyat antaranya Setiausaha Agung PH, Datuk Saifuddin Abdullah; Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, Anwar bangun dan menyampaikan ceramah selama hampir satu jam.

Berita Harian X