Ahad, 14 Oktober 2018 | 7:28pm
NGA Kor Ming (kanan) berjaya mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan Jawatankuasa DAP Perak. - Foto L Manimaran

Kor Ming pertahan jawatan Pengerusi DAP Perak

TAIPING: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan sepupunya yang juga Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Khoo Ham mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan Jawatankuasa DAP Perak di sini hari ini.

Kedudukan Kor Ming dan Khoo Ham diputuskan secara sebulat suara oleh 15 ahli jawatankuasa yang baharu dipilih pada pemilihan itu.

Pada pemilihan itu, Kor Ming yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berada pada kedudukan ketujuh dengan memperoleh 701 undi, manakala Khoo Ham yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di kedudukan ke-10 dengan memperoleh 667 undi.

Dalam pemilihan hari ini seramai 24 calon bertanding bagi merebut 15 kerusi dalam barisan jawatankuasa DAP Perak dengan 1,332 perwakilan yang mengundi.

Kor Ming dan Khoo Ham yang sebelum ini hampir tersingkir pada pemilihan 2013 dengan berada di kedudukan ke-14 dan 15 kembali mendapat kepercayaan ahli parti dengan melonjak ke kedudukan itu.

Paling mengejutkan, EXCO Kerajaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari yang kali pertama bertanding di negeri itu berjaya memperoleh undi tertinggi dengan 890 undi.

Selain ketiga-tiga mereka, turut dipilih dalam kalangan 15 ahli jawatankuasa itu ialah tiga lagi EXCO kerajaan negeri iaitu Wong May Ing, A Sivanesan dan Yong Chong Kiong.

Tiga Ahli Parlimen turut terpilih iaitu, V Sivakumar (Batu Gajah), Teh Kok Lim (Taiping) dan Wong Kah Woh (Ipoh Timur).

Ahli jawatankuasa juga sebulat suara memilih Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh untuk mengekalkan jawatannya sebagai Setiausaha DAP Perak.

Sivakumar pula dipilih sebagai timbalan pengerusi DAP negeri manakala Abdul Aziz serta Sivanesan sebagai naib pengerusi dan Choo Kiong (bendahari).

Sementara itu, Kor Ming berkata, Abdul Aziz yang mendapat undian tertinggi pada pemilihan parti itu kali ini membuktikan perwakilan tidak mengundi mengikut kaum sebaliknya berdasarkan kewibawaan.

“Kali pertama bertanding dan terus mendapat undian tertinggi, ini pencapaian terbaik dan membuktikan perwakilan memilih mengikut kewibawaan.

“Pelantikan ini akan membolehkan beliau menarik lebih ramai orang Melayu untuk menyertai DAP,” katanya selepas pengumuman ahli jawatankuasa DAP negeri.

Berita Harian X