Rabu, 17 Oktober 2018 | 6:48pm
Pengerusi BERSATU Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim melakukan simbolik Penyerahan bendera BERSATU ketika hadir ke Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian Jelebu di Dewan Besar D'Sury, Kuala Klawang. - Foto Adzlan Sidek

Pemimpin UMNO mohon sertai BERSATU Negeri Sembilan

JELEBU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan mendedahkan ramai pemimpin UMNO negeri ini, termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat, memohon menyertai parti itu.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata permohonan sebahagian pemimpin terbabit termasuk Yunus sudah diterima, manakala selebihnya sedang melalui proses tapisan yang akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan parti.

“Kita bersedia menerima ahli UMNO dengan syarat mereka memiliki akhlak yang baik, tidak muflis dan tiada skandal rasuah yang boleh menjejaskan parti.

“Ahli UMNO boleh bersama kita, namun perlu meninggalkan ‘benda busuk’, boleh berdakap semula asalkan tidak menikam atau menerajang kawan-kawan seperti dulu,” katanya ditemui selepas merasmikan pelancaran BERSATU Jelebu di Dewan D’ Sury, Kuala Klawang, di sini, hari ini.

Sementara itu, Yunus yang juga bekas Ketua UMNO bahagian Jelebu, ketika dihubungi NSTP mengesahkan perkara itu dan memberitahu beliau diterima sebagai ahli BERSATU bahagian Seremban.

Terdahulu, Rais berkata, beliau tidak berdepan banyak masalah untuk mengemudi PPBM negeri selepas diminta berbuat demikian oleh pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad, dua bulan lalu.

“Setakat ini BERSATU Negeri Sembilan mempunyai seramai 3,200 ahli membabitkan lapan bahagian. Di Jelebu ini sendiri, kami memiliki 1,200 ahli,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini hanya jawatankuasa penajaan BERSATU bahagian Jelebu sudah dilancarkan manakala tujuh yang lain akan dilancarkan sebelum 25 Oktober ini.

“Sepanjang tempoh ini, mereka yang diberi jawatan perlu bekerja keras sehingga pemilihan jawatankuasa sebenar dilakukan pada September tahun depan,” katanya.

Berita Harian X