Rabu, 24 Oktober 2018 | 9:51pm
NAIB Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar. - NSTP/Danial Saad

Pemilihan PKR: Dr Xavier bantah terima surat amaran

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar mengemukakan bantahan keras terhadap Jawatankuasa Aduan, Rayuan dan Disiplin PKR susulan surat amaran yang diterimanya berhubung pemilihan parti.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat itu berkata, beliau sudah memohon kepada pucuk kepemimpinan tertinggi parti untuk membuat siasatan yang sewajarnya ke atas perkara berkenaan.

“Saya minta mereka mengambil tindakan untuk memperbetulkan kenyataan yang dipaparkan di laman sesawang rasmi Pemilihan PKR 2018 hari ini.

“Tindakan ini dipercayai dilakukan sesetengah pihak yang menggunakan taktik kotor untuk memburukkan imej saya, lebih-lebih lagi dengan kedudukan terkini saya yang agak positif ke arah pemilihan untuk jawatan Naib Presiden,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bersama jawatankuasa berkenaan mengenai pemecatan seorang ahli EXCO Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan tiga Ahli Parlimen termasuk seorang menteri yang menjadi calon dalam pemilihan PKR diberikan surat amaran.

Kenyataan dan senarai nama mereka yang dikenakan tindakan itu dipaparkan di portal Pemilihan Keadilan 2018, www.pemilihankeadilan2018.com/blog.

Mengulas lanjut, Dr Xavier berkata, sehingga jam 7 petang tadi beliau masih tidak menerima sebarang surat daripada Jawatankuasa Bantahan, Rayuan dan Disiplin berhubung perkara itu dan menyifatkannya sebagai tidak profesional dan agak keterlaluan.

“Sebagai seorang ahli kanan dan Naib Presiden parti, saya faham proses pemilihan PKR kali ini lebih mencabar berbanding sebelum ini kerana kita sudah menjadi sebahagian besar daripada Kerajaan Persekutuan.

“Saya percaya tindakan ini dilakukan untuk memburukkan nama saya ketika suasana pemilihan parti berada dalam keadaan yang getir,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan 2018 (JPP) Datuk Rashid Din berkata, kenyataan jawatankuasa berkenaan yang dimuat naik dalam portal JPP itu adalah proses biasa yang dilaksanakan sejak dari awal proses pemilihan parti 2018 bermula.

“Ini adalah kerana Jawatankuasa ini diwujudkan untuk memastikan proses perjalanan pemilihan parti berjalan mengikut Tatacara Peraturan dan Tataetika yang ditetapkan oleh Majlis Pemimpinan Pusat (MPP) parti.

“Jawatankuasa ini akan meneliti semua fakta dan bukti yang dikemukakan dengan merujuk kepada Peraturan dan Tataetika pemilihan 2018 untuk membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini .

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Pengerusi Jawatankuasa Bantahan, Aduan, Rayuan, dan Disiplin Pemilihan 2018, Dr Syed Husin Ali.

Menurut Rashid biasanya, keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa itu hanyalah membabitkan menerima atau menolak bantahan, aduan dan rayuan, atau mengeluarkan peringatan dan amaran.

“Jawatankuasa hanya akan memanggil mereka yang berkenaan sekiranya kes aduan berkaitan dengan hal disiplin.

“Jika mempunyai bukti yang kukuh berkaitan dengan disiplin, kes berkenaan akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin Parti,” katanya.

Berita Harian X