Ahad, 28 Oktober 2018 | 12:33pm
Calon Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli. - Foto Mikail Ong
Calon Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli. - Foto Mikail Ong

Rafizi yakin peroleh mandat di Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR: Calon Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli, yakin undi Sabah dan Sarawak akan memihak kepadanya berbanding penyandang jawatan itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bekas ahli Parlimen Pandan yang mendakwa kini mendahului pencabarnya berkata, peluangnya dilihat cerah untuk meraih undi di dua negeri berkenaan.

“Keadaan sekarang dilihat bagus sebab orang menjangkakan apabila selesai pemilihan di Selangor dan Semenanjung amnya, Mohamed Azmin sepatutnya sudah mendahului 4,000 ke 5,000 undi.

“Sepatutnya saya sudah kena ‘tanam’ di Selangor tetapi nampaknya keadaan sekarang sudah menjadi 50-50 dan itu akan memberi peluang yang baik kepada saya di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pengundian Pemilihan PKR 2018 Cabang Pandan di sini, hari ini.

Keputusan tidak rasmi Pemilihan PKR setakat ini menyaksikan Rafizi bangkit dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden apabila meninggalkan Mohamed Azmin dengan jurang tipis sebanyak 1,229 undi.

Setakat ini, Rafizi memperoleh 46,477 undi, manakala Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi selaku penyandang jawatan Timbalan Presiden, meraih 45,248 undi.

Cabang Pandan pula menyaksikan saingan merebut jawatan ketua cabang membabitkan Rafizi dan tiga pencabarnya, yang mana seorang daripada mereka adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha, yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Berita Harian X