Ahad, 28 Oktober 2018 | 10:09pm
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) dan Haniza Mohd Talha. - Foto NSTP
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) dan Haniza Mohd Talha. - Foto NSTP

Azmin, Haniza pilihan Selangor

SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menewaskan pencabarnya, Rafizi Ramli di Selangor biarpun pemilihan di Kuala Selangor terpaksa ditangguhkan berikutan masalah e-undi.

Lima cabang yang melakukan pemilihan pada minggu ketiga ini, iaitu Tanjong Karang, Pandan, Ampang, Shah Alam dan Hulu Selangor memilih bekas Menteri Besar Selangor itu untuk terus mengekalkan jawatan yang disandang berbanding Naib Presiden PKR itu.

Azmin memperoleh 4,138 undi manakala Rafizi mendapat 2,097 dengan kelebihan 2,041 undi.

Dari undian ketiga-tiga fasa berkenaan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu meninggalkan Rafizi dengan majoriti 3,408 selepas mendapat undian keseluruhan 21 cabang sebanyak 18,453 berbanding 15,045 yang diterima pesaingnya.

Jika perwakilan di Kuala Selangor memilih Rafizi, jumlah undian tetap tidak dapat menggugat kedudukan Mohamed Azmin.

Dalam pemilihan hari ini, tidak ada satu cabang yang menyebelahi bekas Ahli Parlimen Pandan terbabit.

Sementara itu, pada pemilihan fasa ketiga hari ini, jawatan Ketua Wanita Keadilan menyaksikan calon dari Selangor, Haniza Mohd Talha menerima 1,192 undian hasil dari undian di empat cabang iaitu Tanjong Karang, Pandan, Ampang dan Shah Alam.

Haniza meninggalkan pesaingnya Fuziah Salleh dengan kelebihan 485 undi sementara Fauziah tidak menang di mana-mana empat cabang berkenaan.

Bagi calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Dr Afif Bahardin menewaskan Akmal Nasullah Mohd Nasir selepas memperoleh 919 undian berbanding lawannya itu yang mendapat 489 undi.

Seorang lagi calon jawatan itu, Mohd Najwan Halimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik menerima 238 undian.

Berita Harian X