Isnin, 19 November 2018 | 3:25pm
MOKHTAR Senik

Segerakan kerjasama PAS-UMNO, sekat agenda DAP

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Pusat PAS secara terbuka menyokong kerjasama politik antara dua parti Melayu-Islam, UMNO dan PAS, dilaksanakan segera tanpa ditangguhkan lagi.

Mokhtar Senik berkata, kerjasama itu akan menjadi tsunami yang akan meranapkan mimpi politik DAP, malah ia menjadi perkara paling ditakuti DAP apabila PAS membentuk kerjasama politik dengan UMNO.

“Kerana tidak mahu kerjasama politik itu menjadi realiti, DAP berusaha sungguh-sungguh menakutkan ahli PAS dan UMNO, supaya ahli tegar PAS akan meninggalkan PAS, ahli tegar UMNO meninggalkan UMNO.

“Semakin kecil serpihan parti Melayu-Islam, akan semakin menggembirakan DAP. Contohnya, Parti Melayu bersatu dan Parti Amanah Negara (AMANAH). Mereka terpaksa berpaut kepada DAP,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Mokhtar menggesa Melayu Islam yang menganggotai PAS-UMNO bersatu menggerakkan usaha kesedaran kembali kepada Islam sebagai tonggak kekuatan.

“Ayuh kita gerakkan tsunami politik ini mulai sekarang. Jangan lama-lama kerana tanah air ini sudah bosan dengan kezaliman, penindasan dan pembohongan,” katanya.

Mokhtar turut menasihatkan PAS dan UMNO mengambil iktibar daripada sejarah sendiri, PAS dengan pengalaman bersama DAP dan UMNO sebagai parti Melayu sekular selama 60 tahun.

“Perjuangan Islam tidak boleh mengharapkan sokongan liberal sekular seperti DAP. Perjuangan berteraskan nasionalisme Melayu semata-mata akhirnya akan lemah dan runtuh,” katanya.

Mokhtar mendakwa DAP semakin berani mengejar ‘cita-cita sulit’ mereka selepas menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)

Katanya, DAP mengambil kesempatan apabila melihat kebanyakan orang bukan Islam berpihak kepada mereka, dan sebahagian orang Melayu dapat mereka kuasai dengan janji manis.

“Mereka (DAP) secara terang mula melangkah untuk mencapai hasrat politik mereka. Banyak sudah ucapan dan tindakan mereka yang memperlekeh Islam dan Melayu,” katanya lagi.

Semalam, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan oleh kedua-dua parti bagi mencari titik persamaan dalam parti Melayu-Islam.

Difahamkan, PAS-UMNO bakal menganjurkan perhimpunan bersama bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), 8 Disember depan.

Berita Harian X