Rabu, 21 November 2018 | 5:55pm
DATUK Salahuddin Ayub melawat tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

AMANAH tidak terima pelawaan tubuh kerajaan baharu

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak menerima sebarang pelawaan daripada UMNO dan PAS untuk bekerjasama menubuhkan kerajaan Melayu-Islam pada 9 Mei lalu.

Timbalan Presidennya, Datuk Salahuddin Ayub, berkata AMANAH tetap kekal komited bersama Pakatan Harapan (PH).

“Kita tidak terima tawaran sebegitu dan komited dengan Pakatan (Harapan),” katanya selepas melawat tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa terdapat cubaan daripada pemimpin UMNO dan PAS untuk menarik Ahli Parlimen Melayu-Islam dari PH bagi membentuk kerajaan.

Dr Mahathir dalam temubual bersama majalah Mekong Review mendedahkan terdapat cubaan ‘di sebalik tirai’ beberapa jam sebelum keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diumumkan secara rasmi pada Mei lalu.

Perdana Menteri berkata, PH berdepan “masalah dari dalam” pada malam 9 Mei lalu sebelum membentuk kerajaan pada peringkat Persekutuan.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, beliau percaya Dr Mahathir memiliki pelbagai sumber dan maklumat yang boleh digunakan.

“Paling penting, peralihan kuasa berjalan dengan baik selepas PRU-14.

“Saya tak boleh nafikan ada pakatan itu, untuk mereka (UMNO) kembali kepada tampuk kuasa, itu mungkin boleh berlaku, tetapi beliau (Dr Mahathir) ada banyak sumber,” katanya.

Berita Harian X