Ahad, 9 Disember 2018 | 5:59pm
GAMBAR fail, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto Hafiz Sohaimi

Jawatankuasa bersama PAS-UMNO bincang kepentingan rakyat asal

KUALA LUMPUR : Satu jawatankuasa bersama membincangkan isu kepentingan dan jaminan hak keistimewaan Islam, Melayu dan Bumiputera akan dibentuk antara PAS-UMNO tidak lama lagi.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS dan UMNO akan menubuhkan jawatankuasa khas peringkat dalaman parti terlebih dulu, bagi memastikan ‘survival’ dan hak kepentingan rakyat asal tidak terus diganggu-gugat segelintir pihak.

“PAS akan tubuh jawatankuasa, UMNO akan tubuh jawatankuasa - teliti beberapa isu kepentingan Islam, Melayu dan Bumiputera serta jaminan pelaksanaan Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tubuh jawatankuasa bersama (PAS-UMNO) nanti untuk teliti isu ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas sokongan ribuan rakyat Melayu-Islam ketika himpunan kesyukuran penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD) sebagai pencetus bibit kerjasama positif PAS-UMNO.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, berkata pembangkang menyedari ada usaha dan elemen dibangkitkan segelintir pihak untuk melanggar kontrak sosial yang dipersetujui bersama dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita harap banyak lagi perbincangan dan penyelarasan pendirian bersama (PAS-UMNO) perlu dilakukan (perjuangkan hak),” katanya.

Mengulas gabungan parti politik gergasi Melayu-Islam bakal menjadi kenyataan melalui kerjasama PAS-UMNO, Tuan Ibrahim berkata buat masa ini, kedua-dua parti tumpu kepada kepentingan bersama untuk rakyat Melayu-Islam.

“Kita nak perjuangkan kepentingan bersama dulu. Dalam konteks penggabungan, parti akan buat keputusan nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata PAS menyambut baik keputusan tegas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak ICERD.

Mengulas kemungkinan mengadakan perhimpunan susulan di beberapa lokasi di ibu negara sekiranya isu ini terus dibangkitkan, Tuan Ibrahim berkata, “Kita tunggu dan lihat pada masa akan datang.

“Kita kawal (pantau) dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), yang tidak mendokong pendirian kerajaan,” katanya.

557 dibaca
Berita Harian X