Ahad, 9 Disember 2018 | 6:03pm
Penasihat DAP, Lim Kit Siang (kiri) bersama Setiausaha Agung parti itu Lim Guan Eng. - Foto BERNAMA

Kit Siang paling layak jadi menteri - Guan Eng

PETALING JAYA: Penasihat DAP, Lim Kit Siang adalah pemimpin parti yang paling layak menjadi menteri, kata Setiausaha Agung parti itu Lim Guan Eng.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata Kit Siang adalah anggota veteran parti yang paling berjasa dan banyak berkorban sepanjang beliau berkhidmat lebih 50 tahun dalam DAP.

“Beliau (Kit Siang) berjuang bertahun-tahun untuk parti, menghadapi banyak pendakwaan dan penganiayaan, keluar masuk penjara dan sudah dua kali kena ISA ( Akta Keselamatan Dalam Negeri) kerana politik.

“Saya yakin semua ahli pun bersetuju, Lim Kit Siang adalah orang paling layak jadi menteri kerana perjuangan beliau, tetapi sayang beliau tolak untuk beri laluan kepada pemimpin muda,” katanya ketika berucap di Konvesyen DAP Selangor di sini, hari ini.

Pada Mei lalu, Kit Siang dipetik berkata beliau tidak akan menyertai kabinet pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana DAP mempunyai bakat secukupnya untuk berkhidmat dalam kerajaan pusat.

Guan Eng turut menggesa anggota parti supaya tidak memainkan sentimen perkauman dan agama seperti mana yang dilakukan oleh parti pembangkang.

“Kita perlu memberikan keutamaan kepada perpaduan parti, jika kita asyik memainkan sentimen kaum dan tidak bersatu-padu, maka kita akan terjerat dalam perangkap parti pembangkang dan mula melemahkan kita.

“Kita tidak mahu mencontohi parti pembangkang yang suka memainkan sentimen perkauman yang akhirnya memperlihatkan mereka pecah-belah seperti mana sekarang,” katanya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Guan Eng meluahkan rasa terkejut apabila ada pihak yang mahu Malaysia keluar daripada menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Sekiranya berlaku, Malaysia akan jadi satu-satunya negara yang tak jadi Ahli PBB… sedangkan Korea pun ahli PBB, saya tidak faham kenapa mereka (pembangkang) mainkan sentimen ini,” katanya.

Semalam, ketika berucap dalam himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), pemimpin UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. dilaporkan ‘menyerang’ PBB dengan mendakwa pertubuhan itu mempengaruhi hala tuju negara.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti yang diadakan pada hari ini.

Pemilihan itu menyaksikan 40 calon bertanding bagi 15 jawatan dalam jawatankuasa DAP Selangor. - BERNAMA

5799 dibaca
Berita Harian X