Ahad, 9 Disember 2018 | 7:39pm
SEBAHAGIAN peserta perhimpunan penolakan ratifikasi ICERD di Dataran Merdeka, kelmarin. - Foto ASYRAF HAMZAH

Perhimpunan ICERD agenda jatuhkan kerajaan

KUALA LUMPUR: Perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang berlangsung semalam disifatkan sebagai agenda untuk menjatuhkan kerajaan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Raja Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata kerjasama UMNO dan PAS yang berhimpun atas nama ICERD hanya propaganda semata-mata.

“Itu bukan perhimpunan kesyukuran seperti dinyatakan UMNO dan PAS. Ia perhimpunan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia yang dipilih rakyat secara sah.

“Saya rasa aneh dengan pendirian PAS apabila pemimpinnya mendoakan Pakatan Harapan (PH) pendek umur semalam.

“Malah, doa itu pula diaminkan puluhan ribu penyokong PAS termasuk presiden parti itu iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, pada penutup himpunan ICERD, Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Nik Zawawi Salleh, membacakan doa memohon supaya kerajaan PH dipendekkan umurnya.

Sementara itu, Raja Bahrin juga berkata sebelum ini Abdul Hadi pernah meminta PH supaya memberi peluang kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyelesaikan masalah kerajaan ketika beliau masih memegang jawatan.

Katanya, gesaan Abdul Hadi itu dibuat ketika sebahagian pemimpin UMNO mempersoalkan Najib dan beliau juga berdepan dengan pelbagai dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

“Kalau dulu, Najib diminta supaya dibenarkan menghabiskan penggalnya, kenapa kerajaan PH yang baru beberapa bulan memerintah hendak dijatuhkan?

“Saya dapati berlaku gandingan unit beberapa pihak yang berpakat mahu menentang kerajaan semasa Malaysia.

“PAS dan UMNO berganding bahu mengasak dari dalam, manakala Singapura yang didakwa menjadi ejen Israel dan Yahudi di rantau ini memberi tekanan dari luar. Inikah politik matang dan sejahtera PAS yang boleh bekerjasama dengan UMNO selepas mereka terbabit dalam isu kafir mengkafir dulu,” katanya.

Raja Bahrin, yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah itu turut mendakwa gesaan dibuat Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar supaya menteri kabinet bangkit menghadapi Singapura mungkin mempunyai niat tertentu.

“Sikap sebegitu sepatutnya ditunjukkan Khairy semasa dia menjadi menteri dalam kabinet Barisan Nasional (BN) dulu.

“Gesaan beliau (Khairy) supaya menteri bertelagah dengan Singapura, memberi gambaran jelas UMNO dan PAS memainkan peranan menggugat kerajaan PH dari dalam sambil mengharapkan Singapura melengkapkan strategi dengan asakan dari luar,” katanya.

9414 dibaca
Berita Harian X