Ahad, 16 Disember 2018 | 4:15pm
Ahli Parlimen Kubang Keria, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, membantu murid-murid di Parlimen Kubang Kerian, mencuba pakaian sekolah ketika program Back To School yang dianjurkan oleh Kelab Sukarelawan Kebajikan Salor. - Foto Fathil Asri

PAS sambut usaha kukuhkan kerjasama antara pembangkang - Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik konsep ‘taawun’ (tolong-menolong) dan usaha memperkukuhkan kerjasama dengan UMNO serta parti komponen Barisan Nasional (BN), seperti permintaan dilontarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata walaupun kerjasama politik antara dua parti itu masih memerlukan kajian menyeluruh namun kerjasama PAS-UMNO, petanda positif kepada pembangkang.

Justeru, katanya, PAS akan terus menyokong sebarang usaha meningkatkan penyatuan dalam perkara yang membawa kebaikan kepada Islam serta membuat rakyat gembira.

“Dalam usaha penyatuan kekuatan umat Islam, kita (UMNO-PAS) perlu bersatu dalam kebaikan dan taqwa.

“Namun PAS tidak bersekongkol dengan kemungkaran dan perkara yang merugikan Islam dan negara,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mengulangi pendirian kerjasama PAS-UMNO akan dibincang lebih terperinci di peringkat tertinggi parti.

Sementara itu, mengulas dakwaan DAP membawa haluan sendiri ketika senario politik tanah air terus bergolak, Tuan Ibrahim menegaskan DAP tidak pernah ‘senyap’ (bawa haluan sendiri).

“Pelbagai usaha dibuat (DAP) sehingga timbul kegelisahan di kalangan rakyat khasnya Melayu.

“DAP pun sudah ada orang parti yang boleh jadi jurucakap mereka,” katanya.

Berita Harian X